Kembara jalan kaki cuci masjid

Kembara jalan kaki cuci masjid

ALOR SETAR, 23 Jun (Bernama) – Tiga anak muda meneruskan Kembara Berjalan Kaki 1Semenanjung Malaysia di bulan puasa untuk membersihkan masjid.

Annas Aiman Jaffry, 27 dan adiknya, Muhamad Aidil, 24, serta rakan mereka Muhd Izammuddin Aliddin, 25, mempunyai strategi tersendiri iaitu keluar berjalan kaki selepas bersahur ke masjid lain yang terpilih.

Annas Aiman berkata mereka memendekkan jarak perjalanan mereka daripada 40 kilometer kepada 20 kilometer sehari sebelum berhenti di masjid terpilih bagi menjalankan kerja-kerja membersihkan masjid.

“Kami bertolak awal pagi dalam keadaan cuaca yang sejuk. Kita juga boleh sampai awal ke masjid sebelum menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Zahir di sini, hari ini.

Penyelia stor sebuah syarikat farmasi di ibu negara itu berkata selepas aktiviti mencuci di kawasan masjid itu selesai mereka akan berada di masjid itu bagi mengikuti pelbagai program keagamaan yang diadakan.

Anas Aiman Jaffry (2 kanan) dan adiknya Muhammad Aidil (kanan) bertungkus lumus membersihkan lantai Masjid Zahir. – Bernama
Anas Aiman Jaffry (2 kanan) dan adiknya Muhammad Aidil (kanan) bertungkus lumus membersihkan lantai Masjid Zahir. – Bernama

Annas berkata setakat ini mereka telah mencuci 83 masjid dalam tempoh 151 hari selepas mengembara di lapan negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata program tersebut bertujuan mengajak orang ramai untuk bersama-sama membantu pengurusan masjid membersihkan kawasan masjid dalam usaha menjadikan sesebuah masjid itu bersih.

Katanya selain itu mereka juga dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan agama menerusi kuliah agama serta dapat berdampingan dengan masyarakat serta ahli jawatankuasa masjid.

Muhamad Aidil berkata mereka bertiga juga akan menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa berada di sisi keluarga bagi menyelesaikan misi tersebut dengan jayanya.

Pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta di Shah Alam itu berkata sebelum ini mereka tidak pernah berenggang dengan ahli keluarga untuk menyambut hari istimewa itu.

“Di mana masjid yang kami tujui nanti di situlah kami akan menyambut hari raya. Sedih itu memang ada tapi kita perlu tabah bagi mencapai misi ini dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Muhd Izammuddin berkata sepanjang perjalanan ke 83 masjid orang ramai memberi sokongan kepada mereka selain turut menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka untuk teruskan kembara ini.

“Ada yang menangis berjumpa dengan kami dan mereka hargai apa yang kami lakukan. Sokongan itu yang membuatkan kami lebih bersemangat untuk teruskan kembara ini pada masa akan datang,” katanya yang juga seorang kerani di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sebarang bantuan kepada mereka boleh menghubungi Annas di talian 017-8723891 atau terus ke akaun CIMB 12051419414523 (Annas Aiman Jaffry).

ARTIKEL YANG SAMA