Kembara kebajikan ASEAN

Kembara kebajikan ASEAN

MIRI, 21 Ogos (Bernama) – Kerajaan bercadang untuk meluaskan kawasan program Kembara Kebajikan ke negara-negara ASEAN dengan fokus utama memberi bantuan kemasyarakatan kepada mangsa pasca bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata antara negara ASEAN dikenal pasti berpotensi dilaksanakan program tersebut ialah negara Thailand, Brunei dan Indonesia kerana kedudukan geografi berhampiran dengan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

“Berbeza dengan Peace Corp dari Amerika Syarikat yang berteraskan pendidikan iaitu mengajar Bahasa Inggeris, Kembara Kebajikan lebih kepada aktiviti kemasyarakatan dan bantuan kepada pelanggan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rohani berkata jika ia berjaya dilaksanakan program tersebut dapat menaikkan imej positif Malaysia dalam kalangan negara ASEAN terutama sekali dalam aktiviti sukarelawan kebajikan.