Kembara penca...

Kembara pencarian sang pembunuh ayah Britta

ULASAN BUKU OLEH RAZALI SALAM

 

BRITTA Flannery adalah seorang gadis yang berusia 17 tahun, yang selalu menghabiskan masanya di dalam hutan dengan pisau dan panahnya.

Hari-harinya diisikan dengan menjejak penjenayah yang dikehendaki bersama-sama dengan ayahnya, seorang pemburu tersohor yang bekerja untuk King of Malam.

Namun, semua itu tidak kekal lama apabila ayah Britta telah dibunuh oleh seseorang. Britta kini tinggal keseorangan dan sebatang kara apabila dia tidak dapat mewarisi tanah dan harta peninggalan ayahnya. Demikian itu, Britta telah melarikan diri untuk hidup di tempat yang paling selamat bagi dirinya iaitu di Ever Woods.

Walau bagaimanapun, pada satu hari Britta telah ditangkap oleh pengawal diraja ketika dia pergi berburu di hutan itu. Akan tetapi bukan hukuman yang menunggunya, malahan Britta telah ditawarkan dengan satu tawaran iaitu mendapatkan pembunuh ayahnya sebagai ganti kepada kebebasan dirinya.

Meskipun begitu, tugasan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi orang yang dituduh sebagai pembunuh itu tidak lain tidak bukan adalah Cohen McKay, bekas anak didik ayahnya sendiri dan satu-satunya kawan yang pernah dikenalinya, bahkan lebih daripada itu Cohen adalah seseorang yang pernah dicintainya dan mematahkan hati Britta.

Britta kini terpaksa meredah pengembaraan yang penuh liku dan bahaya. Merentasi negara-negara yang dilanda peperangan, berdepan dengan raja-raja yang zalim dan sihir-sihir jahat yang dahsyat, semuanya demi menemui sang pembunuh.

Tapi Britta sendiri tidak mengetahui kebolehan hebat yang terdapat pada dirinya. Britta akan menyedari sendiri kelainan yang ada pada dirinya yang akan menjadikannya seorang yang berbahaya dan menakutkan.

Berjayakah Britta menebus kebebasan dirinya dengan mendapatkan pembunuh ayahnya? Benarkah Cohen yang pernah dicintainya itu yang bertanggungjawab membunuh ayah Britta? Apakah sebenarnya kebolehan yang terdapat pada diri Britta?

Untuk mengetahui segala jawapan, dapatkanlah novel Ever the Hunted karya penulisan Erin Summerill di pasaran segera.

ARTIKEL YANG SAMA