Kemboja belum sahkan penyertaan

Kemboja belum sahkan penyertaan

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) – Sebanyak 90 pelumba profesional dari sembilan negara di rantau ini telah mengesahkan penyertaan pada ASEAN Cycle Fest 2015 yang akan diadakan buat julung kali pada 6 hingga 8 November.

Pengerusi Eksekutif Multigreen Event Sdn Bhd, Datuk Rosle Jaamat berkata pihak penganjur berharap Kemboja dapat memberi jawapan penyertaan mereka itu secepat mungkin sebelum tarikh tutup pada Isnin depan.

“Kita masih menunggu jawapan dari Kemboja sebab apa yang kita ketahui, mereka juga mempunyai beberapa pelumba bagus yang mampu bersaing merebut gelaran Raja Pecut ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian ASEAN Cycle Fest 2015, di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Pada majlis itu juga, turut diperkenalkan penaja baharu termasuk Genting Malaysia Berhad, Great Eastern, Phiten, Cycling Express, Bertoni Eyewear Italy dan Victoria. Perlumbaan sejauh 42km yang berlangsung pada 8 Nov, menyaksikan setiap negara menghantar sebanyak 10 pelumba terbaik mereka bagi merebut gelaran Raja Pecut ASEAN, sekali gus membawa pulang piala pusingan, Piala Datuk Bandar.

ASEAN Cycle Fest 2015 akan berlangsung selama tiga hari bermula dari Dataran Merdeka melalui Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P.Ramlee, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja dan Jalan Sultan Hishamuddin, sebelum kembali menamatkan perlumbaan di Dataran Merdeka.

ARTIKEL YANG SAMA