Kemboja berkas jururawat Australia

Kemboja berkas jururawat Australia

PHNOM PENH, 20 Nov – Seorang jururawat warga Australia yang juga pakar kesuburan diberkas kerana disyaki menjalankan perkhidmatan haram ibu tumpang di Kemboja, menurut polis anti penyeludupan orang negara itu hari ini.

Penahanan itu dibuat beberapa minggu selepas Kemboja menjadi negara terbaru yang menegah khidmat komersial ibu tumpang.

Tammy Davis-Charles, 49 tahun diberkas pada Jumaat bersama-sama dua orang warga Kemboja ketika serbuan ke atas sebuah rumah sewa di Phnom Penh, Kolonel Polis Keo Thea, ketua Pejabat antipenyeludupan Orang, memberitahu AFP.

“Dia telah diberkas kerana menjadi orang tengah dalam perkhidmatan ibu tumpang dan memalsukan dokumen,’ menurut Keo Thea.

“Warga Australia yang mahukan anak akan menghubunginya dan dia akan mengenakan caj US$50,000 bagi setiap permohonan,” ujarnya lagi.

Keo Thea berkata Davis-Charles telah berpindah ke Kemboja dari Thailand selama lebih setahun, dengan menambah kata dia telah mengaturkan kira-kira 23 orang wanita Kemboja untuk mengandungkan anak bagi pasangan suami isteri warga Australia.

“Lima orang anak damit telah dilahirkan,” katanya, dengan menambah kata lagi bahawa seorang perempuan Kemboja telah menerima $10,000 dan $12,000 dalam setiap kes.

Davis Charles, yang berasal dari Melbourne, akan dibawa ke mahkamah esok bagi disoal siasat. Dia mungkin berdepan hukuman penjara sehingga 2 tahun jika didapati bersalah, menurut Keo Thea, dan dia menambah kata lagi bahawa itu adalah penahanan pertama bagi kegiatan ibu tumpang di Kemboja. – AFP