Kemboja dakwa taikun hartanah

Kemboja dakwa taikun hartanah

PHNOM PENH, 19 Julai – Kemboja mendakwa dan menahan seorang taikun hartanah yang dikehendaki berhubung serangan ke atas seorang aktres televisyen popular selepas video tentang serangan kejam menimbulkan kemarahan yang tersebar luas dan perdana menteri menggesa dia menyerah diri.

Ahli perniagaan kaya, Sok Bun, yang telah melarikan diri ke Singapura dalam percubaan untuk mengelak pihak berkuasa, telah diberkas sekembalinya di lapangan terbang Phnom Penh sebelum didakwa di mahkamah, menurut para pegawai.

Rakaman CCTV yang memaparkan serangan ke atas Ek Socheata, lebih dikenali dengan nama pentasnya SaSa, di sebuah restoran telah mencetuskan kemarahan awam di sebuah negara yang mana orang kaya kerap dilihat mengatasi sistem kehakiman yang korup.

Mahkamah Perbandaran Phnom Penh ‘telah secara rasmi mendakwa Sok Bun dengan tuduhan keganasan disengajakan”, Sok Khemarin, ketua jabatan polis penal kementerian dalam negeri, memberitahu AFP.

Dia menambah kata usaha berpengaruh berusia 37 tahun itu mengaku bersalah dan kini sedang ditahan di penjara Prey Sar, di pinggir ibu negara, menantikan perbicaraan. Sok Bun berdepan hukuman penjara lima tahun jika didapati bersalah.

Keganasan ke atas wanita adalah lumrah di Kambodia, tetapi pendedahan awam akan serangan itu mengundang kemarahan di negara itu, yang mendominasi tajuk-tajuk akhbar tempatan ketika video grafik itu secara meluas dikongsikan di media sosial.

Khamis lalu Perdana Menteri Hun Sen menyertai gesaan supaya Sok Bun berdepan pengadilan, dengan meminta taikun itu menyerah diri kepada polis.

Serangan ke atas SaSa oleh ahli perniagaan dan pengawal peribadi bersenjatanya, berlaku pada awal-awal waktu pada 2 Julai di sebuah restoran Jepun di ibu negara.

Dia telah mendapat rakaman CCTV tentang kejadian itu dan menghantarnya ke Facebook empat hari kemudian berserta gambar-gambar yang memperlihatkan kecederaannya.

Rakaman itu menunjukkan dua lelaki memukul seorang wanita berpakaian hitam, menyeretnya dari sofa dan berulang kali menendang kepalanya ketika SaSa dalam kepayahan cuba bangun dari lantai. – AFP