Kemboja mulakan kerja pembinaaan loji janakuasa suria

PHNOM PENH, 12 Sept – Kemboja memulakan kerja-kerja pembinaan fasa pertama loji janakuasa suria bernilai AS$10 juta di wilayah Kampong Speu yang dilaksanakan secara usaha sama melibatkan pelabur Kemboja, Thailand dan Laos, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Bercakap pada majlis pecah tanah baru-baru ini, ketua pengarah Kementerian Tenaga Kemboja, Victor Jona berkata, jabatan berkenaan menyokong projek itu kerana ia mematuhi dasar kerajaan yang memberi keutamaan terhadap projek tenaga boleh baharu.

Usaha sama itu membabitkan keseluruhan pelaburan sebanyak AS$400 juta bagi menghasilkan kira-kira 225 megawatt untuk kegunaan perniagaan, kilang dan zon perindustrian di wilayah Kampong Speu, Kampong Chhnang dan Takeo.

Kerajaan Kemboja turut menyasarkan kesemua 14,168 kampung di seluruh negara menerima bekalan tenaga elektrik menjelang 2020. Menjelang akhir Jun, kira-kira 79 peratus kampung telah menerima bekalan elektrik.

Buat masa ini, kebanyakan tenaga elektrik diimport dari Vietnam, Laos dan Thailand.

Kini kebanyakan lampu awam di beberapa wilayah dan bandar seperti Preah Sihanouk dan Kampot menggunakan tenaga suria. – Bernama