Kemboja rampas gading disembunyikan dalam balak

PHNOM PENH, 6 Dis – Kemboja telah merampas hampir satu tan gading yang disembunyikan dalam balak kosong yang ditemui di dalam kontena perkapalan ditinggalkan, kata seorang pegawai hari ini.

Negara itu telah menjadi pusat transit serantau penting bagi perdagangan haram hidupan liar. Hampir 280 cebisan gading – sebahagian gading gajah – telah ditemui dalam kontena di pelabuhan barat daya Sihanoukville selepas terbiar di sana selama setahun.

Penghantaran barangan milik sebuah syarikat berpangkalan di Mozambique itu meninggalkan Ivory Coast dan tiba di Kemboja pada Disember 2016, kata pegawai.

Gambar yang diambil pada 5 Disember menunjukkan pihak berkuasa Kemboja memegang gading-gading selepas satu penghantaran dalam kontena kapal telah dirampas di wilayah Preah Sihanouk. – AFP

“Apabila kontena itu tiba di pelabuhan, kami menemui objek-objek aneh dalam pengimbasan,” kata Lim Bun Heng, timbalan pendakwa bagi wilayah Preah Sihanouk.

“Kami meminta pemilik syarikat untuk membuka kontena berkenaan namun tiada sesiapa yang tampil,” katanya, menambah bahawa pihak berkuasa akhirnya merampas barangan tersebut.

Siasatan kemudian mendedahkan penemuan gading yang beberapa daripadanya telah disembunyikan dalam balak. – AFP