Kemboja yakin raih manfaat daripada AEC

Kemboja yakin raih manfaat daripada AEC

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) – Kemboja, anggota Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), yakin negara itu akan dapat meraih manfaat daripada penyepaduan ekonomi.

Pemangku Menteri Perdagangannya Pan Sorasak berkata dengan penduduk berjumlah lebih 15 juta, Kemboja mahu menjadi negara lebih kompetitif dalam kalangan negara ASEAN dan juga negara-negara lain di dunia.

“Ekonomi kami adalah sebuah ekonomi pasaran terbuka, sesiapa sahaja boleh datang dan menjalankan perniagaan. Anda tidak perlu menjalin usaha sama dengan syarikat tempatan. Ini dinyatakan dalam undang-undang pelaburan kami,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-47 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.

Mesyuarat itu bertujuan untuk memberikan sentuhan terakhir kepada penubuhan AEC pada akhir tahun ini di samping menjalin hubungan lebih erat dengan rakan dagangan utama termasuk China.

Sorasak berkata Kemboja menerima banyak minat dari seluruh dunia termasuk anggota ASEAN, untuk membangunkan projek prasarana, iaitu jalan raya, jambatan dan bangunan.

“Ini akan membuka lebih banyak ruang bagi pergerakan bebas barangan dan perkhidmatan dan perkhidmatan kewangan yang akan meningkatkan pembangunan negara.

“Kami tidak gentar untuk bekerjasama dengan negara-negara lebih besar. Malahan, kami mahu meningkatkan diri kami sendiri bagi memastikan negara mewujudkan lebih banyak nilai dan kami dapat menjadi sebahagian daripada ‘negara-negara besar’.

“Kami berharap menjelang 2025, kami dapat menjadi sebuah negara berpendapatan sederhana dan Kemboja kini memiliki dasar khusus yang dipanggil dasar pembangunan perindustrian,” katanya.

Pada Mac, kerajaan Kemboja mengumumkan Dasar Pembangunan Perindustrian 2015-2025, merangka pelan hala tuju yang menyasar meningkatkan pelaburan dan mengembangkan sektor pembuatan negara itu.

Dasar itu akan membantu mempelbagaikan ekonominya, mengurangkan pergantungan kepada sektor tradisional seperti pakaian, pelancongan dan pertanian, di samping membawa pelaburan langsung asing kepada agro tani, hasil seni kraf tangan dan pembuatan ringan.