Kemelesatan ekonomi China jejas pertumbuhan Asia Timur

Kemelesatan ekonomi China jejas pertumbuhan Asia Timur

SINGAPURA, 11 April (AFP) – Kemelesetan ekonomi China akan menjejas pertumbuhan di Asia Timur dan Pasifik mulai tahun ini sehingga sekurang-kurangnya 2018, kata Bank Dunia hari ini, mengingatkan mengenai pasaran global yang turun naik dan menggesa sikap berwaspada.

Pertumbuhan serantau diramalkan menjadi perlahan daripada 6.5 peratus pada 2015 kepada 6.3 peratus pada tahun ini dan 6.2 peratus pada 2017 dan 2018, kata bank dalam prospek terbarunya.

Bagaimanapun, ekonomi Asia Tenggara yang dipimpin oleh Vietnam dan Filipina masih dijangka melihat perkembangan sihat, dengan kedua-duanya diramalkan melihat kadar pertumbuhan sebanyak lebih 6.0 peratus, katanya.

Bank itu berkata prospek serantau mencerminkan peralihan China secara beransur-ansur kepada pertumbuhan yang lebih perlahan, lebih mampan, dijangka pada 6.7 peratus pada tahun ini dan 6.5 peratus pada 2017 dan 2018, daripada 6.9 peratus pada 2015.

China berada di tengah pembaharuan tatkala ia bertindak untuk menjadikan penggunaan domestik penjana pertumbuhan ekonomi utama dan bukannya eksport dan tatkala pengeluaran memberi laluan kepada perkhidmatan yang memain peranan lebih besar dalam ekonomi.

Pejalan kaki berjalan di sepanjang kawasan beli-belah Orchard Road di Singapura kelmarin. – AFP
Pejalan kaki berjalan di sepanjang kawasan beli-belah Orchard Road di Singapura kelmarin. – AFP

“Pelaksanaan pembaharuan yang berterusan harus menyokong imbangan semula permintaan domestik,” kata laporan mengenai ekonomi China.

“Terutamanya, pertumbuhan dalam pelaburan dan pengeluaran industri akan menjadi lembap, mencerminkan langkah-langkah untuk mengawal hutang kerajaan tempatan, mengurangkan lebihan kapasiti industri dan menyesuaikan semula perangsang fiscal ke arah sektor sosial.”

Victoria Kwakwa, naib presiden Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik, berkata dalam satu kenyataan bahawa negara membangun rantau menyumbang kepada “hampir dua perlima daripada pertumbuhan global” pada tahun lalu.

Ramalan dilakukan di sebalik latar belakang pertumbuhan dunia yang lembap, perdagangan global lemah, harga komoditi yang rendah dan pasaran kewangan yang tidak stabil, dengan kemelesetan ekonomi China menimbul satu halangan besar.

Tidak termasuk China, pertumbuhan serantau diramalkan meningkat daripada 4.7 peratus pada tahun lalu kepada 4.8 peratus pada tahun ini dan 4.9 peratus pada 2017 dna 2018, didorong oleh ekonomi memberangsangkan di Asia Tenggara, kata bank.