Kemenangan gagal selamatkan Canaries

Kemenangan gagal selamatkan Canaries

NORWICH, 12 Mei (AFP) – Norwich City melakar kemenangan besar 4-2 ke atas Watford, awal pagi tadi namun ia masih gagal menghalang kelab itu tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim ini.

Berita Sunderland menewaskan Everton 3-0 bermakna Norwich dan Newcastle gagal untuk mendaki daripada kedudukan tiga tercorot liga dengan sebarang keputusan pada perlawanan terakhir Ahad ini tidak memberi sebarang makna.

Begitupun, kemenangan itu sedikit sebanyak tetap mencetuskan sorakan di Carrow Road yang menyaksikan Dieumerci Mbokani meledak dua gol manakala Nathan Redmond turut menyumbat satu gol dan dua gerakan ke arah gol.

Persiapan Norwich menghadapi perlawanan menentang Watford jelas tidak berada dalam keadaan sempurna apabila Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, David McNally menyerahkan surat peletakan jawatan susulan kekalahan kepada Manchester United, Sabtu lalu.

Pemain Norwich, Nathan Redmond (kiri) bersaing dengan pemain Watford, Ikechi Anya untuk menguasai bola dalam aksi liga Carrow Road, kelmarin. – AP
Pemain Norwich, Nathan Redmond (kiri) bersaing dengan pemain Watford, Ikechi Anya untuk menguasai bola dalam aksi liga Carrow Road, kelmarin. – AP

Pengerusinya, Ed Balls menggambarkan tindakan McNally itu sebagai “amat tidak stabil” namun skuad diberi jolokan Canaries itu memang berada dalam keadaan tidak stabil selepas mencatat empat kekalahan berturut-turut termasuk ketika menentang United.

Beraksi di laman sendiri, Norwich begitupun terlebih dulu ketinggalan apabila Troy Deeney membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 sebelum Redmond menyamakan kedudukan, empat minit kemudian.

Tiga minit kemudian, penjaga gol Watford, Heurelho Gomes sekali lagi tewas menerusi jaringan Mbokani diikuti jaringan sendiri pemain lawan, Craig Cathcart pada minit ke-37 yang meletakkan tuan rumah selesa mendahului 3-1.

Watford cuba bangkit pada babak kedua dengan menjaringkan gol kedua menerusi Odion Ighalo pada minit ke-51 namun gol kedua peribadi Mbokani enam minit kemudian melengkapkan kemenangan Norwich.

ARTIKEL YANG SAMA