Kemenangan hebat ‘pendorong’ pemain – Klopp

Kemenangan hebat ‘pendorong’ pemain – Klopp

MANCHESTER, England, 23 Nov (AFP) – Pengurus Liverpool Juergen Klopp berharap kemenangan hebat 4-1 ke atas bekas pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City akan meyakinkan pemainnya bahawa mereka mampu mengatasi apa sahaja halangan.

Roberto Firmino menjaringkan gol pertamanya buat Liverpool dan mencipta dua lagi jaringan apabila pasukan pelawat mendahului 3-0 selepas 32 minit di Stadium Etihad kelmarin, manakala Martin Skrtel mengesahkan kemenangan pada babak akhir selepas Sergio Aguero merapatkan jurang sebelum tamat babak pertama.

Liverpool berjaya menewaskan pasukan juara Chelsea dan City pada aksi di tempat lawan berturut-turut dan biarpun kini ketinggalan enam mata daripada tempat ke Liga Juara-Juara, Klopp percaya keyakinan mula bertapak.

Ditanya apa yang berubah di Liverpool selepas pemecatan pengurus sebelumnya Brendan Rodgers bulan lalu, Klopp menjawab: “Bagi kami apa yang berbeza tidak penting.

Jurgen Klopp (kanan) duduk di kawasan teknikal sebelum bermula perlawanan Liverpool menentang Manchester City di Stadium Etihad, Manchester. – Agensi
Jurgen Klopp (kanan) duduk di kawasan teknikal sebelum bermula perlawanan Liverpool menentang Manchester City di Stadium Etihad, Manchester. – Agensi

“Apa yang penting kami dapat melihat dan merasa ada peningkatan dalam permainan. Kami perlukan pengalaman yang boleh dibincangkan, diusahakan dan perkara lain.

“Itulah sebabnya saya katakan kami boleh lakukan lebih baik dalam beberapa bahagian perlawanan. Mungkin bukan serangan balas kerana mereka memang hebat tapi sudah pasti kami boleh bertahan dengan baik dan mula yakin dengan kekuatan dimiliki.

“Pada separuh masa, saya katakan pemain agak terkejut mampu mendahului perlawanan. Itulah yang perlu kami pelajari. Adalah normal dalam bola sepak jika anda mempunyai kualiti dan kami memilikinya untuk mendahului perlawanan. Satu-satunya detik kelemahan Liverpool adalah sebelum tamat babak pertama apabila Aguero melakukan rembatan dari jarak 23 meter bagi menandakan kepulangannya selepas berehat selama tujuh perlawanan akibat kecederaan hamstring.

Kekalahan itu adalah yang terburuk buat City sejak mereka berpindah ke Stadium Etihad pada 2003.