Kemenangan ke-1,000

Kemenangan ke-1,000

BAYERN Munich menjadi kelab pertama Liga Jerman yang mencatat seribu kemenangan selepas menewaskan Cologne 4-0 pada aksi semalam.

Bayern Munich melakar rekod kemenangan terbanyak liga itu dengan 1714 perlawanan, 1000 menang, 385 tewas dan 329 seri keseluruhannya.

Pada aksi tersebut, pemain sayap veteran Arjen Robben membuka jaringan awal pada minit ke-35 permainan selepas berehat panjang sejak 3 September lalu gara-gara mengalami kecederan ketika beraksi dalam saingan Kelayakan Euro 2016 sebelum ini bersama Belanda.

Pemain antarabangsa Chile, Arturo Vidal menambah gol kedua Bayern, lima minit sebelum tamat babak separuh masa pertama.

Penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski melakar jaringan ketiga pada minit ke-62 sebelum Thomas Mueller mengukuhkan kedudukan dengan gol keempat minit ke-77.

Robert Lewandowski (kiri) bersaing dengan pemain midfield Cologne Matthias Lehmann dalam perlawanan Bundesliga di Munich pada 24 Oktober 2015. – AFP
Robert Lewandowski (kiri) bersaing dengan pemain midfield Cologne Matthias Lehmann dalam perlawanan Bundesliga di Munich pada 24 Oktober 2015. – AFP

“Saya sangat gembira kerana ia dianggap satu hadiah di atas kerja keras kami.

“Saya juga teruja melihat Douglas Costa bermain dan Kingsley Coman turut menjalankan tugas dengan baik di usia 19 tahun. Kami memerlukan pemain yang berkualiti seperti mereka di padang.

“Apabila anda beraksi sejak awal perlawanan dan menjaringkan gol, kamu boleh gembira,” jelas Robben.

Sementara itu, pengurus pasukan, Pep Guardiola turut meluahkan perasaan bangganya terhadap Bayern Munich.

“Perkataan pertama saya hari ini milik Bayern. Seribu kemenangan adalah sangat luar biasa dan saya sangat berbangga menjadi jurulatih di sini.”

Kemenangan ini sekurang-kurangnya mengubat kembali kekecewaan tewas buat kali pertama musim ini kepada Arsenal (2-0) dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah Selasa lalu, sekaligus mengukuhkan kedudukan liga dan berpeluang merakam rekod kejuaraan Bundesliga buat kali keempat berturut-turut. – AFP