Kemenangan penentu jawatan senat

Kemenangan penentu jawatan senat

NEW YORK, 22 Jan (Reuters) – Peninju Filipina, Manny Pacquiao mahukan kemenangan dalam pertembungan terakhir kariernya berdepan Timothy Bradley April ini, bagi membantu kempennya merebut kerusi Senat.

Pacquiao yang mempunyai rekod kemenangan 57-6-2 dan pernah memenangi gelaran dunia dalam lapan kelas berbeza sejak terbabit dengan sukan berkenaan 20 tahun lalu, tampak bersedia berdepan Bradley di Las Vegas pada 9 April ini.

“Ini pertarungan terakhir saya,” kata Pacquiao yang berusia 37 tahun itu. “Selepas ini, saya akan bersara dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab besar dalam kehidupan seharian saya iaitu membantu rakyat.”

Pacquiao adalah seorang ahli kongres di Filipina dan meletakkan harapan tinggi untuk mendapatkan kerusi Senat pada pemilihan 9 Mei ini di negaranya.

Namun, pertarungan tinju antara dirinya dan Bradley akan muncul terlebih dulu sebelum Pacquiao mengharungi cabaran baharu dalam hidupnya.

Bradley, 32, meraih kemenangan ke atas Pacquiao ketika pertembungan pertama mereka yang dibelenggu kontroversi pada 2012 dan peninju kidal itu berjaya mengekalkan gelaran WBO Welterweight, dua tahun selepas itu.