Kemenangan pertama West Ham di Stadium Olimpik

Kemenangan pertama West Ham di Stadium Olimpik

LONDON, 22 Ogos – Perlawanan sulung Liga Perdana (PL) Inggeris West Ham United di gelanggang baru – bekas stadium Olimpik London berakhir dengan kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth, awal pagi hari ini.

Michail Antonio muncul wira Hammers dengan meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-85 menerusi tandukan. West Ham berpindah ke arena baru dan kini dikenali Stadium London selepas meninggalkan Upton Park dan gol tunggal Antonio memberikan keputusan yang pasti ingin diingati.

“Kami memang layak menang. Ia sukar, namun kami tahu ia akan menjadi seperti itu. Kami kehilangan beberapa pemain terbaik kami,” kata pengurus West Ham, Slaven Bilic yang kehilangan khidmat Dimitri Payet dan Andy Carroll akibat kecederaan.

Aksi Michail Antonio (tengah), bersama pemain daripada Bournemouth semasa Liga Perdana di London Stadium, London. – AP
Aksi Michail Antonio (tengah), bersama pemain daripada Bournemouth semasa Liga Perdana di London Stadium, London. – AP

“Kami terus memberi tekanan dan mahukan sesuatu yang lebih. Kami gembira pada akhirnya yang perlawanan pertama di stadium yang cantik ini bermula dengan kemenangan.”

West Ham sebelum ini mencatat kemenangan dalam kempen Liga Europa menentang kelab Slovenia, NK Domzale 3-0 pada aksi pertama di Stadium London namun mereka tumbang 2-1 kepada Chelsea di Stamford Bridge pada aksi pembukaan PL, minggu lalu.

“Ia adalah perlawanan yang sengit dengan beberapa peluang terhidang,” kata pengurus Bournemouth, Howe kepada Sky Sports. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA