Kementerian giat rangka Standard Kepimpinan Sekolah

Kementerian giat rangka Standard Kepimpinan Sekolah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Kementerian Pendidikan sedang giat merangka satu piawaian yang dinamakan Standard Kepimpinan Sekolah (School Leadership Standard) bagi menetapkan tahap kompetensi para pemimpin sekolah.

Standard baru itu diharap dapat memandu para pemimpin sekolah ke arah kepimpinan sekolah yang lebih cemerlang sebagai tambahan kepada usaha gigih Kementerian Pendidikan untuk memantapkan sistem pendidikan dan impaknya yang disukat daripada aspek pencapaian berasaskan hasil.

Sehubungan itu, profesionalisme perguruan dan kepimpinan sekolah akan terus diberikan perhatian berat, kata Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar).

Dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Sambutan Hari Guru Ke-25 Tahun 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini, beliau berkata, piawaian itu sejajar dengan Penilaian Prestasi Guru (TPA) yang telah dibentuk oleh Kementerian Pendidikan, khusus untuk menilai kapasiti dan pencapaian para guru, dan akan mula digunakan pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Pehin berkata, TPA dirangka sebagai menyahut gesaan titah Baginda Sultan pada Sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke-69 pada 15 Ogos yang lalu.

pg03_150924_b

Ia dirangka oleh pelbagai pihak termasuk para guru dan pemimpin sekolah supaya relevan dalam konteks pendidikan negara dan menepati matlamat kualiti yang dihasratkan.

Yang Berhormat Pehin berkata, tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Guru Pemangkin Insan Berwawasan’ yang memfokuskan kepada peranan guru dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna, berwawasan, mempunyai tekad dan matlamat, berakidah, dan bermoral serta berpasak kepada falsafah Melayu Islam Beraja.

“Ke arah itu, para guru perlu mempunyai jati diri yang kukuh dalam menempuhi pelbagai cabaran dan perubahan secara positif dan proaktif dengan penuh tawakkal kepada Allah.

“Pada masa sama juga, guru mesti dapat membawa para ibu bapa dan masyarakat secara kolektif dalam usaha meningkatkan kemajuan para pelajar selaras dengan pendekatan ‘a whole nation approach’,” sembah beliau.

Beliau seterusnya berkata, usaha Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini dilaksanakan dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak terutama agensi kerajaan.

Kerjasama padu dan berterusan Unit PENGGERAK Jabatan Perdana Menteri dapat memberikan rangsangan yang dapat membantu melaksanakan Inisiatif Pendidikan Rendah bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan rendah di negara ini.

Sebelum mengakhiri sembah ucapan itu, Yang Berhormat Pehin mewakili seluruh warga perguruan di negara ini menyembahkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Baginda Sultan dan kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Majlis sambutan Hari Guru Ke-25 Tahun 2015 itu juga menyaksikan seorang penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, dua orang menerima Anugerah Guru Berjasa, empat orang menerima Anugerah Guru Cemerlang manakala 19 orang lagi menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru.

ARTIKEL YANG SAMA