Kementerian Kesihatan raih pingat gangsa

Kementerian Kesihatan raih pingat gangsa

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Kementerian Kesihatan meraih pingat gangsa Kategori Terbuka futsal Pesta Sukan Kementerian-Kementerian (PSKK) 2015 selepas menewaskan Kementerian Pendidikan 5-4 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa semalam.

Kementerian Kesihatan menetapkan tempo perlawanan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan dengan gol awal Md Arif bin Zulkifli pada minit kedua.

Walau bagaimanapun Noor Raimi @ Syahremy bin Karim mengembalikan keseimbangan dengan jaringannya empat minit kemudian dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Kementerian Pendidikan kemudiannya mendahului perlawanan 2-1 pada minit ke-15 menerusi jaringan Amalul Arif bin Haji Zaman, tetapi hanya bertahan dua minit apabila Ketua Pasukan Kementerian Kesihatan, Mohd Alikhan bin Haji Md Yakop berjaya menyamakan kedudukan.

Jaringan minit ke-18 Mohd Alikhan ini menyelamatkan Kementerian Kesihatan untuk menang 5-4 menerusi penentuan penalti.
Jaringan minit ke-18 Mohd Alikhan ini menyelamatkan Kementerian Kesihatan untuk menang 5-4 menerusi penentuan penalti.

Dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga perlawanan masa sebenar tamat, sepakan penalti penentuan pun terpaksa dijalankan untuk mencari pemenang dan ternyata ia memihak Kementerian Kesihatan dengan kejayaan menyempurnakan ketiga-tiga penaltinya berbanding hanya dua buat Kementerian Pendidikan.

Kekalahan itu menjadikan kekalahan kedua berturut-turut Kementerian Pendidikan malam tadi menerusi penentuan penalti, selepas turut tewas dengan cara yang sama pada perlawanan separuh akhirnya kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).