Kementerian Kesihatan teruskan sesi muzakarah di Temburong

Kementerian Kesihatan teruskan sesi muzakarah di Temburong

TEMBURONG, 23 Nov – Kementerian Kesihatan, hari ini meneruskan Sesi Muzakarah Bersama Pihak-pihak Berkepentingan dengan kali ini bagi Daerah Temburong yang diadakan di Dewan Serba Guna Bumiputera Daerah Temburong.

Di awal muzakarah, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi telah menyampaikan ucapan alu-aluan yang antara lain menerangkan mengenai potensi teknologi untuk digunakan dalam membawa para profesional kesihatan untuk lebih dekat kepada pelanggan atau pesakit.

Turut hadir pada sesi muzakarah ini ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan, pegawai Daerah Temburong, pegawai-pegawai dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Daerah Temburong, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, para penghulu dan ketua-ketua kampung serta dari pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Antara isu-isu yang diberikan perhatian dalam sesi muzakarah kali ini ialah mengenai usaha menambah baik sistem kesihatan yang meliputi aspek-aspek kebersihan, kualiti, dan akses penjagaan kesihatan yang selamat untuk membawa pendekatan penyampaian perkhidmatan secara lebih inovatif kepada orang ramai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, sesi muzakarah seperti ini merupakan salah satu inisiatif kementerian dalam membuat pendekatan untuk mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh orang ramai dalam meningkatkan tahap serta kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.

Menteri Kesihatan bergambar ramai bersama peserta-peserta Sesi Muzakarah Bersama Pihak-pihak Berkepentingan yang diadakan di Dewan Serba Guna Bumiputera Daerah Temburong, kelmarin.
Menteri Kesihatan bergambar ramai bersama peserta-peserta Sesi Muzakarah Bersama Pihak-pihak Berkepentingan yang diadakan di Dewan Serba Guna Bumiputera Daerah Temburong, kelmarin.

Di samping itu, ia juga memberikan peluang pencambahan fikiran di antara kesemua pihak yang berkepentingan dalam sama-sama menanai dan memikul tanggungjawab untuk menjadikan cara hidup sihat sebagai norma bagi setiap lapisan masyarakat.

Ia juga merupakan satu wadah untuk berkongsi maklumat dan cadangan daripada pihak-pihak berkepentingan untuk menambahbaikkan usaha dalam mencapai visi dan strategi Kementerian Kesihatan.

Perkongsian ini diharap akan dapat membantu dalam mendokong hasrat Wawasan Negara 2035 di samping boleh memberikan manfaat dalam mengeratkan lagi kerjasama Kementerian Kesihatan dengan pihak-pihak yang berkepentingan dan mengukuhkan lagi kualiti sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan agar lebih efisien, efektif dan bersiap siaga menghadapi sebarang cabaran masa kini dan yang akan datang.

Sementara itu, beberapa peserta yang mengikuti sesi muzakarah rata-rata mengalu-alukan inisiatif Kementerian Kesihatan yang membolehkan mereka berinteraksi secara lebih dekat dengan menteri untuk berkongsi secara lebih dekat segala permasalahan untuk meningkat kualiti perkhidmatan jabatan kesihatan.

Sebahagian daripada peserta Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan Bersama Pihak-pihak Berkepentingan bagi Daerah Temburong, kelmarin.
Sebahagian daripada peserta Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan Bersama Pihak-pihak Berkepentingan bagi Daerah Temburong, kelmarin.

Awang Mohammad Salleh bin Haji Nayan, yang bekerja di Jabatan Imigresen Cawangan Bangar, Temburong berpendapat, muzakarah hari ini adalah amat bagus, bersifat minda terbuka untuk menerima berbagai pandangan dan pendapat untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang awam dari semasa ke semasa.

Ketua Kampung Bokok, Haji Zaman bin Haji Arsad pula berkata, sesi muzakarah tersebut sangat baik dan memuaskan kerana dapat berbincang bersama dengan Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan doktor-doktor dari Kementerian Kesihatan yang turut serta dalam sesi muzakarah hari ini.

Manakala Hajah Siti Rahmat binti Haji Ajak daripada Persatuan PERTIWI juga berkongsi pandangan yang sama dan menurutnya, muzakarah tersebut sangat baik dan berfaedah serta dapat mengeratkan silaturahim dan juga memperbaiki perkhidmatan di Hospital.

Beliau berharap inisiatif tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA