Kementerian Kesihatan tidak iktiraf kelayakan perubatan tradisional

Kementerian Kesihatan tidak iktiraf kelayakan perubatan tradisional

PUTRAJAYA, 12 Feb – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa ini tidak menyokong, mengiktiraf atau menganugerah sebarang kelayakan perubatan tradisional dan kontemporari (PT&K), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata KKM juga tidak terlibat dalam penganjuran kursus dan program bersama pihak bukan kerajaan untuk tujuan pendaftaran di bawah Akta PT&K 2013 (Akta 756).

Katanya terdapat banyak tuntutan palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak kebelakangan ini di media massa yang mendakwa kursus atau program PT&K anjuran mereka merupakan laluan untuk berdaftar sebagai pengamal PT&K apabila Akta PT&K 2013 (Akta 756) dikuatkuasakan kelak.

“Susulan siasatan yang dijalankan, KKM mendapati kursus atau program yang dianjurkan merupakan kursus atau program jangka pendek yang tidak berstruktur dengan tenaga pengajar yang tidak berkelayakan,” kata Dr Noor Hisham.

Antara tuntutan palsu itu termasuk menyatakan kursus atau program yang ditawarkan akan atau telah diiktiraf oleh kerajaan untuk tujuan pendaftaran di bawah Akta 756.

Tuntutan palsu lain termasuk penganjuran kursus itu merupakan mandat daripada kerajaan atau anjuran bersama kerajaan dan penyertaan kursus itu merupakan syarat atau keperluan di bawah Akta 756 dan sebagainya.

“KKM ingin memaklumkan bahawa Majlis PT&K yang bakal ditubuhkan di bawah Akta ini akan menetapkan kelayakan yang diiktiraf atau kriteria pendaftaran sebagai pengamal PT&K apabila Akta 756 dikuatkuasakan nanti,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata KKM sedang berusaha ke arah penguatkuasaan Akta 756 dan apabila ia dikuatkuasakan kelak, mana-mana individu yang ingin mengamal atau menawarkan perkhidmatan PT&K adalah wajib untuk berdaftar dengan Majlis PT&K.

“Individu yang ingin mengamal dan menawarkan perkhidmatan PT&K juga perlu memenuhi kriteria pendaftaran seperti yang ditetapkan oleh Majlis dan bukan agensi lain termasuk badan pengamal PT&K yang dilantik oleh KKM,” jelasnya. – Bernama