Kementerian Kesihatan tuan rumah SOMHD ke-11

Kementerian Kesihatan tuan rumah SOMHD ke-11

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam tahun ini menjadi tuan rumah seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Mengenai Pembangunan Kesihatan (SOMHD) ke-11 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan 2016-2017 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, itu telah dimulakan dengan penyerahan jawatan pengerusi kepada Brunei sebagai negara tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) yang akan diadakan tahun depan.

Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Maslina binti Haji Mohsin dalam ucapannya semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut menekankan perlunya negara-negara yang terlibat untuk terus bekerjasama dalam menangani cabaran kesihatan yang biasa dihadapi di rantau ini serta memastikan hasil daripada Mesyuarat SOMHD ini sejajar dengan Agenda Pembangunan Kesihatan ASEAN selepas tahun 2015 dan matlamat pembangunan mapan.

Beliau seterusnya menjelaskan, sejak beberapa dekad yang lalu, rantau kita telah menyaksikan pembangunan ekonomi yang pesat dan dengan itu demografi kini sedang dalam peralihan. Malah tidak mengejutkan bahawa corak penyakit di rantau ini juga sedang menjalani proses perubahan.

“Sebagai sebuah rantau, kita telah membuat penambahbaikan pesat dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat, di mana kematian ibu telah menyaksikan penurunan dramatik dan kini, ramai lagi kanak-kanak di ASEAN selamat peringkat awal mereka dan lima tahun pertama,” jelasnya.

Suasana pada Mesyuarat SOMHD ke-11.
Suasana pada Mesyuarat SOMHD ke-11.
Dr. Hajah Maslina menyampaikan ucapan selaku pengerusi mesyuarat.
Dr. Hajah Maslina menyampaikan ucapan selaku pengerusi mesyuarat.

Beliau seterusnya menambah, dalam bidang penyakit berjangkit, usaha-usaha kita telah membuat kemajuan luar biasa dalam penyakit-penyakit seperti polio, campak, malaria, HIV dan AIDS.

“Menguatkan lagi pencapaian-pencapaian kita adalah komitmen bersama kita ke arah perlindungan kesihatan universal dan pelaburan berterusan dalam sektor kesihatan.”

Bagaimanapun, tekan beliau lagi, kita terus berdepan cabaran-cabaran termasuk yang paling penting, bebanan berganda penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, yang mana menurutnya, peningkatan dramatik terutamanya dalam penyakit tidak berjangkit telah menjadi ancaman baru di rantau ini.

Mesyuarat SOMHD yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk mengkaji pelaksanaan misi yang digariskan dalam setiap Mesyuarat SOMHD sebelumnya dan melaksanakan aktiviti, komitmen dan kenyataan bersama untuk dikemukakan kepada AHMM yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Selain itu, mesyuarat turut memfokuskan kepada perbincangan mengenai agenda serta isu kesihatan di rantau ASEAN dan juga aktiviti yang akan dirancang bagi menangani isu tersebut seterusnya mencapai matlamat Rangka Tindakan Komuniti Sosiobudaya ASEAN yang dipersetujui oleh Ketua-ketua ASEAN.

Pada mesyuarat itu, empat agenda utama dibincangkan iaitu mengenai mempromosi cara hidup sihat, memberi respons pada semua bahaya dan kemunculan ancaman, mengukuhkan sistem kesihatan dan akses kepada penjagaan dan memastikan keselamatan makanan.

Kepentingan perbincangan kepada agenda ini adalah sangat relevan bagi Brunei kerana ia adalah selaras dan menyokong ketiga-tiga keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu untuk menerapkan kesihatan tanggungjawab semua, di samping mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit seterusnya memberi perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan dan penyejajaran perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.

Mesyuarat SOMHD tahun ini dihadiri lebih 100 orang delegasi yang terdiri daripada pegawai kanan Kementerian Kesihatan negara-negara ASEAN, China, Jepun dan Republik Korea.

ARTIKEL YANG SAMA