Kementerian Kewangan adakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah

Kementerian Kewangan adakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya, petang tadi telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, di sini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah setiausaha tetap dan pemangku setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, para pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis, Pemangku Pengarah Urusan Tabung Amanah Pekerja, Dayang Suraya binti Haji Jaidin.

Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah Kementerian Kewangan.
Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah Kementerian Kewangan.

Kemudian, majlis diikuti dengan ceramah khas bertajuk ‘Pengajaran dalam Memperjuangkan dan Mempertahankan Keimanan’ yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohd Yusof bin Haji Abdul Majid.

Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan Kementerian Kewangan, tahun ini ia diselenggarakan oleh Tabung Amanah Pekerja, yang antara lain bertujuan untuk memperingati dan membesarkan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.