Kementerian Kewangan anjur Sambutan Maulidur Rasul

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya turut menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W dengan Majlis Ceramah Khas yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dan kakitangan di Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan Tabung Amanah Pekerja (TAP), Dayang Suraya binti Haji Jaidin, selaku pengerusi majlis.

Kemudian, ceramah khas bertajuk ‘Rasulullah Qudwah Sepanjang Zaman’ telah disampaikan oleh penceramah undangan, Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman ketika mendengarkan ceramah pada majlis tersebut.

Dalam ceramahnya itu, Haji Ali Yusri banyak menyentuh mengenai sunnah-sunnah Nabi Muhammad S.A.W antaranya tentang kesihatan, kebersihan, dan hormat-menghormati dan berlaku adil sebagai pemimpin.

Antara sunnah-sunnah ini amat digalakkan oleh Nabi Muhammad S.A.W, kerana ia bukan saja dipraktikkan oleh umat Islam, bahkan diguna pakai oleh mereka yang bukan Islam.

Majlis juga diserikan dengan Dikir Maulud yang dipersembahkan oleh Kumpulan Dikir Kementerian Kewangan.

Majlis berkenaan adalah salah satu aktiviti tahunan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya dalam sama-sama memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W dan pada tahun ini majlis tersebut diungkayahkan oleh TAP.