Kementerian pelancongan Thai mahu jadikan pesta keris acara tahunan

Kementerian pelancongan Thai mahu jadikan pesta keris acara tahunan

PATTANI, 31 Julai – Kementerian Pelancongan Thailand bersedia menjadikan ‘Pesta Keris Warisan Thai, Warisan Asia’ sebagai acara tahunan dalam menyokong usaha mengkaji sejarah dan warisan serantau.

Ketua Setiausahanya Dr Apina Possayanont berkata, keris bukan sahaja senjata kepada orang Melayu pada masa silam tetapi juga menjadi barangan perhiasan rumah yang bernilai.

“Program merentasi sempadan ini boleh menarik minat mereka yang mencintai keris serta menanam minat generasi muda untuk mengkaji sejarah dan warisan serantau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pesta itu di sini, semalam.

Pesta Keris Warisan Thai, Warisan Asia 2016 anjuran Jabatan Kebudayaan Wilayah Pattani itu berlangsung dua hari bermula Jumaat.

Lebih 1,000 pencinta keris dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand menyertai pesta yang mempamerkan lebih 500 keris.

Antara keris yang dipamerkan termasuk dari Pattani, Songkla, Kelantan, Terengganu, Kedah, Bali, Indonesia dan Mindanao, Filipina.

Pesta kali ini turut diselitkan dengan seminar dan bengkel berkenaan budaya keris serta persembahan seni silat gayung Pattani.

Seorang pencinta keris Abdul Fatah Husen Long Dewa berkata, keris memiliki kehebatan yang berbeza dan beliau sendiri dapat merasai hanya dengan menyentuhnya.

“Kehebatan antara keris yang dibuat untuk berperang dan keris yang dihasilkan untuk berniaga itu ada bezanya. Keris untuk berperang apabila kita pegang kita akan jadi berani,” katanya.

Setiausaha Persatuan Pengukir Keris Malaysia Muhaimin Hasbullah berkata pesta yang julung kali diadakan itu baik untuk usaha mengekalkan budaya dan warisan Melayu kepada generasi baru. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA