Kementerian Perhubungan rai Hijrah

Kementerian Perhubungan rai Hijrah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, menyemarakkan Awal Tahun Hijrah 1437 dengan mengadakan majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan kementerian berkenaan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat. Majlis yang dikelolakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat dengan tema sambutan ‘Berhijrah untuk Membangun’ itu diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Dr. Andas Haji Ismuhadi bin Abdullah.

Dalam ceramahnya itu, beliau antara lain menyentuh mengenai kepentingan peralihan ke arah mempertingkatkan lagi produktiviti yang menjana kepada produktiviti negara.

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan sketsa oleh kakitangan Jabatan Pengangkutan Darat yang mengetengahkan peralihan daripada transaksi di kaunter kepada transaksi secara online yang boleh dibuat di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bersama tetamu khas yang lain di majlis itu kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bersama tetamu khas yang lain di majlis itu kelmarin.
Antara yang hadir di majlis itu.
Antara yang hadir di majlis itu.

Persembahan ini turut mencerminkan visi kementerian berkenaan secara keseluruhan ke arah mencapai masyarakat pintar yang simbolik kepada penghijrahan progresif ke arah mencapai daya tahan sosioekonomi negara berasaskan teknologi dan tumpuan kepada memudah cara pelanggan dan proses.

Majlis ini juga merupakan acara keagamaan tahunan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi menyemarakkan hari kebesaran Islam dengan tujuan mendapatkan ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah S.W.T serta mengingati sejarah Hijrah Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam dan sahabat dari Mekah ke Madinah.

ARTIKEL YANG SAMA