Kementerian Pertahanan sedia hos PASOLS ke-44

Kementerian Pertahanan sedia hos PASOLS ke-44

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Kementerian Pertahanan melalui Direktorat Logistik dan Pusat Kawalan Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM) akan menganjurkan Seminar Pegawai-pegawai Kanan Logistik Kawasan Pasifik (PASOLS) ke-44 dengan tema ‘Logistik Bersama’ bermula esok hingga 18 September di Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Kementerian Pertahanan, dalam kenyataannya, hari ini, berkata ketua-ketua dan para perwakilan pertubuhan logistik tentera dari 28 buah negara telah mula tiba ke negara ini bagi seminar berkenaan dan lebih ramai dijangka tiba esok.

Seminar tiga hari berkenaan, yang merupakan kali kedua dihoskan bersama oleh Brunei Darussalam dengan Amerika Syarikat (kali pertama pada 2004), akan dibuka rasmi pada 15 September ini.

Menurut kenyataan itu, PASOLS adalah pertubuhan dinamik dan terus berkembang yang bermula pada 1971, yang mana ia menyediakan platform bagi pegawai-pegawai logistik kanan untuk bertemu, berinteraksi rapat dan bertukar-tukar amalan terbaik, membangunkan kerjasama rangka kerja keselamatan dan mewujudkan perhubungan yang kukuh di antara negara-negara rakan dalam mengatasi cabaran-cabaran pelbagai aspek di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, isteri-isteri delegasi yang mengiringi mereka juga akan berpeluang untuk melihat lebih dekat kebudayaan Brunei Darussalam, yang mana mereka akan dibawa menaiki kapal pelayaran bagi menyusuri sungai di Kampong Ayer dan melawat Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer.

Selain itu, mereka juga akan dibawa melawat ke Pusat Kesenian dan Kraf Tangan, Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja, Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pusat Ehsan, lawatan kebudayaan ke Kampung Sungai Matan serta beriadah di Taman Agro Teknologi.

ARTIKEL YANG SAMA