Kementerian Pertanian runding konsep penurunan kuasa dengan Sarawak

Kementerian Pertanian runding konsep penurunan kuasa dengan Sarawak

KUCHING, 7 Sept (Bernama) – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berunding dengan kerajaan negeri Sarawak bagaimana cara konsep ‘penurunan kuasa’ iaitu memberikan kuasa tertentu milik jabatan persekutuan kepada kerajaan negeri, dapat dilaksanakan, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pihak kementerian sedang memperhalusi bidang tertentu antaranya perikanan, veterinar dan tanaman untuk pelaksanaan konsep itu yang akan memberikan ‘suara’ kepada kerajaan negeri Sarawak untuk membuat keputusan.

“Konsep penurunan kuasa kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri sudah dipersetujui antara Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Adenan Satem). Ia juga adalah merupakan keputusan kabinet dan kementerian sedang memperhalusi bidang-bidang berkaitan yang akan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup hampir sejam bersama-sama Adenan di Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Azini Mohd Shahid, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Tan Sri Zainal Dahalan dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan.

Mengenai pertemuan itu, Ahmad Shabery berkata turut dibincangkan beberapa perkara berkaitan hubungan kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam perkara-perkara menyentuh kepentingan bersama dalam mengukuhkan segala bentuk sokongan kepada pertanian dan membantu rakyat Sarawak dalam membangunkan industri pertanian dan perikanan.

“Ada sesetengah perkara perlu perubahan peraturan, undang-undang dan sebagainya tetapi sebahagiannya boleh kami uruskan dengan cara pentadbiran.

“Misalnya keputusan memberi lesen kepada nelayan, jika laut itu dekat dengan Sarawak, dalam membuat keputusan (memberi lesen) itu nanti akan ada wakil Sarawak, tetapi dalam keadaan tertentu kita boleh turunkan kuasa kepada agensi berkenaan di Sarawak,” katanya.

Ahmad Shabery berkata aspek dan potensi besar yang perlu diambil demi masa depan pembangunan pertanian termasuk di kawasan tanah tinggi di negeri ini juga dibincangkan.