Kemeriahan Aidilfitri Di Istana Nurul Iman

Kemeriahan Aidilfitri Di Istana Nurul Iman

Oleh Lenna N.B & Rafidah Jumat

 

“DI SAAT yang penuh berkat lagi bahagia ini, tidak ada yang lebih utama untuk dilafazkan melainkan kalimat syukur jua, kerana apabila nikmat diterima, kita yang menerimanya adalah berkewajipan untuk mensyukurinya”

Antara petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini pada 17 Julai 2015 yang disiarkan secara langsung dari Istana Nurul Iman.

Seperti lazimnya, setiap kedatangan Aidilfitri, Istana Nurul Iman telah dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula dari hari raya kedua hingga keempat iaitu selama tiga hari dari jam 10 pagi hingga 12 tengahari untuk sesi pagi dan dari jam 2 petang hingga 4 petang untuk sesi petang.

Setelah hasil merukyah anak bulan Syawal 1436 Hijrah dilaksanakan oleh hakim-hakim Syar’ie dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan di beberapa tempat merangkumi bangunan Ibu Pejabat DST Jerudong, Bukit Ambok Tutong, Bukit Agok Tutong dan Bukit Lumut Belait, maka jatuhlah awal bulan Syawal pada Hari Sabtu iaitu 18 Julai 2015 bersamaan dengan 1 Syawal 1436 Hijrah.

Justeru itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta keluarga dan Kerabat Diraja yang lainnya berkenan menerima junjung ziarah semasa hari terbuka istana dari 19 Julai hingga 21 Julai ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darus-salam berkenan menerima junjung ziarah. - Gambar oleh Lenna N.B & Pg Fairol RMF
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darus-salam berkenan menerima junjung ziarah. – Gambar oleh Lenna N.B & Pg Fairol RMF
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darus-salam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Kerabat Diraja lelaki yang lainnya menerima junjung ziarah daripada pengunjung lelaki.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darus-salam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Kerabat Diraja lelaki yang lainnya menerima junjung ziarah daripada pengunjung lelaki.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima junjung ziarah daripada orang ramai.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima junjung ziarah daripada orang ramai.

M08-4_20150721

Antara mereka yang kurang upaya ketika sedang menjunjung ziarah.
Antara mereka yang kurang upaya ketika sedang menjunjung ziarah.

Tetap Meriah Setiap Tahun

Kemeriahan Istana Nurul Iman sangat dirasai dari menjejakkan kaki ke pintu utama istana, dewan banquet hinggalah ke ruang junjung ziarah. Para tetamu yang hadir dengan pakaian istimewa mereka masing-masing berdebar ingin menemui pemerintah negara yang tercinta bersama Keluarga Kerabat Diraja secara dekat walau cuma sekejap untuk berjarah.

Hari Terbuka Istana Nurul Iman pada tahun lepas, 30 Julai 2014 hingga 1 Ogos 2014, mencatatkan sejumlah 96,555 orang telah mengunjungi istana dan tidak mustahil pada tahun ini juga, catatan pengunjung bakal meraih jumlah tersebut kerana pada hari pertama Istana Nurul Iman dibukakan lagi, seramai 39,943 telah dicatatkan dari sesi pagi hingga sesi petang.

Budaya ziarah dan menziarahi sudah menjadi adat bagi seluruh umat Islam ketika bulan Syawal. Kita sentiasa menanti kedatangan tetamu dan menziarahi rumah kediaman mereka sambil beramah mesra. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku pemimpin negara dan khalifah di bumi Darussalam, turut tidak meninggalkan budaya ziarah menziarahi ini.

Selain tujuan memuliakan tetamu yang berkunjung ke istana, Baginda juga berkenan bersemuka dengan setiap tetamu yang berjunjung ziarah. Tangan mereka disambut dengan mesra dan setiap tetamu yang keluar pasti akan menerima buah tangan kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang disertai dengan kad ucapan raya dari Baginda Sultan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta kaum Kerabat Diraja lelaki yang lainnya akan menerima junjung ziarah daripada tetamu lelaki.

Manakala, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri, serta kaum Kerabat Diraja perempuan yang lainnya, akan menerima junjung ziarah daripada tetamu perempuan.

Sebelum berbaris untuk berjarah dengan Keluarga Diraja, para tetamu akan menikmati hidangan istimewa dari istana yang disediakan khas untuk mereka menjamu selera. Istana Nurul Iman sungguh meriah dengan kehadiran orang ramai yang bukan sahaja terdiri daripada rakyat Negara Brunei Darussalam tetapi juga para pekerja asing dan pelancong dari luar negara yang tidak ingin melepaskan peluang ini menyaksikan keindahan istana secara dekat dan menemui keluarga Diraja yang sebelum ini hanya dapat dilihat dari jauh di kaca televisyen.

“Saya merasa iski melihat suasana istana yang meriah serta orang ramai yang berpusu-pusu ingin menemui pemimpin kita. Sebenarnya, tahun ini adalah kali pertama saya turun ke Istana Nurul Iman bersama keluarga. Sebelum ini, saya banyak mendengar dari cerita saudara-mara. Jadi, saya ingin Aidilfitri kali ini lebih bererti dengan mengunjungi Istana Nurul Iman serta menemui Kerabat Keluarga Diraja. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat pemimpin kita, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta keluarga Diraja yang lainnya,” ujar Rokiah Ahmad, 64, yang sedang menanti giliran untuk berjarah. Walau duduk di kerusi rodanya, dia tetap bersemangat tinggi seperti pengunjung yang lain.

Pintu utama Istana Nurul Iman dipenuhi dengan kunjungan orang ramai berbilang bangsa.
Pintu utama Istana Nurul Iman dipenuhi dengan kunjungan orang ramai berbilang bangsa.
Para tetamu menikmati juadah dari istana di Dewan Banquet.
Para tetamu menikmati juadah dari istana di Dewan Banquet.
Cherry Kyaw San dan May Win Han dari Myanmar yang sedang menuntut di Universiti Brunei Darus-salam juga turut berkunjung.
Cherry Kyaw San dan May Win Han dari Myanmar yang sedang menuntut di Universiti Brunei Darus-salam juga turut berkunjung.
Karl Bartlett, berasal dari England dan bekerja di Brunei lebih setahun turut tidak melepaskan peluang mengunjungi Istana Terbuka.
Karl Bartlett, berasal dari England dan bekerja di Brunei lebih setahun turut tidak melepaskan peluang mengunjungi Istana Terbuka.
Pengunjung-pengunjung perempuan yang sabar menanti dan berbaris menuju kehadapan majlis junjung ziarah.
Pengunjung-pengunjung perempuan yang sabar menanti dan berbaris menuju kehadapan majlis junjung ziarah.
Bas transit memudahkan para pengunjung yang berjalan kaki dari tempat letak kereta menuju ke istana.
Bas transit memudahkan para pengunjung yang berjalan kaki dari tempat letak kereta menuju ke istana.
Antara tetamu lelaki yang sedang berbaris menuju ke ruang junjung ziarah untuk berjarah dengan Bag-inda Sultan serta Kerabat Diraja Lelaki yang lainnya.
Antara tetamu lelaki yang sedang berbaris menuju ke ruang junjung ziarah untuk berjarah dengan Bag-inda Sultan serta Kerabat Diraja Lelaki yang lainnya.

Aidilfitri, Istimewa Untuk Kami

Kebanyakkan mereka yang bukan Islam tetapi menetap di sebuah negara Islam menganggap bahawa Aidilfitri juga istimewa buat mereka. Budaya ziarah-menziarahi dan hidangan makanan yang melazatkan membuat mereka turut merasa keistimewaan sambutan hari raya setiap tahun.

Justeru itu, tidak hairanlah selain kunjungan daripada rakyat Brunei dan para pelancong, orang luar yang menetap, belajar serta bekerja di negara ini turut tidak melepaskan peluang menyertai junjung ziarah di Istana Nurul Iman sebagaimana diperjelaskan oleh dua pelajar dari Myanmar yang sedang menuntut di Universiti Brunei Darussalam.

“Peluang ini umpama sekali dalam seumur hidup. Walaupun Baginda Sultan dan Raja Isteri bukan pemimpin negara kami tetapi sepanjang berada di sini, kami merasa keamanan dan kedamaian Negara Brunei Darussalam. Kami dilayan dengan baik dan kami banyak tahu bahawa Sultan Brunei seorang yang baik serta pemurah dari media-media tempatan. Jadi bila lagi kami boleh bertemu dengan Kerabat Diraja jika tidak di hari raya ini? Tambahan lagi, kami mendapat buah tangan dari istana. Kenangan ini pasti menjadi kenangan terbaik buat kami,” jelas Cherry Kyaw San yang berkunjung ke Istana Nurul Iman bersama rakannya, May Win Han. Mereka memakai pakaian tradisi Myanmar memperlihatkan tempat asal negara mereka disamping bertujuan berkongsi kebudayaan dengan masyarakat Brunei.

Manakala, menurut Karl Bartlett yang berkerja di Brunei lebih setahun dan menetap di sini bersama ahli keluarganya, budaya Istana Terbuka agak unik dan sesuatu yang baru baginya kerana di negara asalnya, England tidak membenarkan rakyat biasa memasuki istana.

“Istana England tidak pernah dibuka. Namun, di Brunei sempena hari istimewa iaitu Aidilfitri ini, istana dibuka selama tiga hari dan kami sekeluarga berpeluang menemui keluarga Diraja iaitu suatu budaya agak unik. Saya rasa berbaloi walaupun perlu berbaris agak lama untuk bersalaman dengan Baginda Sultan. Terima kasih kerana izinkan kami menyertai junjung ziarah serta menikmati juadah yang melazatkan. Setentunya, kami akan berkunjung lagi di tahun depan kerana Aidilfitri juga istimewa untuk kami,” tambah Karl Bartlett.

Sepanjang Rumah Terbuka Istana Nurul Iman ini, kita pasti akan dapat merasai kemeriahannya dari luar istana lagi. Kelihatan beberapa peniaga sedang berdagang tidak jauh dari istana mengambil peluang mencari pendapatan ketika orang ramai sedang berjalan kaki menuju atau baru pulang dari istana. Jalanraya yang sesak, dan kunjungan orang ramai tidak putus-putus tidak mematahkan semangat buat mereka yang ingin menikmati kemeriahan sambutan Hari Raya Istana Nurul Iman. Kebanyakkan para pengunjung menyatakan, “ini adalah satu peluang dalam setahun”.