Kemeriahan Hari Raya di Negara Brunei Darussalam

Kemeriahan Hari Raya di Negara Brunei Darussalam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini, menerima kunjungan Hari Raya daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kedua Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohammad serta isteri di kediaman Yang Berhormat Pehin di Kampung Sungai Besar.

Tuan Yang Terutama selaku ketua delegasi dan isteri serta rombongan berada di negara ini dalam rangka kunjungan empat hari bermula 19 hingga
22 Julai 2015. Tuan Yang Terutama disertai Menteri Negara di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Nasional Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki Osman dan isteri serta Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Nasional Singapura, Tuan Yang Terutama Desmond Lee dan isteri.

Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli semasa ditemui pihak media menjelaskan kunjungan beliau tahun ini disertai dua timbalan menteri dari Singapura untuk merayakan Hari Raya bersama mereka sekali gus untuk menyampaikan ucapan Hari Raya daripada Singapura kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin semasa menerima kunjungan Hari Raya daripada Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin semasa menerima kunjungan Hari Raya daripada Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli.
Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli berkata di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura adalah sangat berbeza dari segi acara rumah terbuka.
Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli berkata di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura adalah sangat berbeza dari segi acara rumah terbuka.
Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki Osman menyatakan kegembiraan Hari Raya sentiasa terserlah setiap kali berada di Brunei.
Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki Osman menyatakan kegembiraan Hari Raya sentiasa terserlah setiap kali berada di Brunei.
Bagi TYT Desmond Lee, ini merupakan kunjungan Hari Raya ke Brunei yang pertama beliau sertai.
Bagi TYT Desmond Lee, ini merupakan kunjungan Hari Raya ke Brunei yang pertama beliau sertai.

“Seperti biasa, saya merasakan suasana di sini sungguh riang gembira dan sentiasa meriah. Kemesraan yang disampaikan oleh menteri-menteri semua di sini dapat dirasakan dan amat dihargai.”

Tuan Yang Terutama menjelaskan lagi, kemeriahan Hari Raya di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura adalah sangat berbeza dari segi acara rumah terbuka menteri-menteri dan Baginda Sultan yang dibuka untuk dikunjungi orang ramai.

Manakala di Singapura, rumah terbuka hanya dibuka kepada saudara-mara dan kawan-kawan terdekat sahaja. Tuan Yang Terutama sangat gembira kerana dengan kunjungan Raya yang keempat dan ia sangat istimewa.

Kunjungan ini juga dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Brunei dan Singapura yang kini semakin berkembang maju dari segi hubungan kepimpinan dan hubungan bersama rakyat.

Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki Osman turut mengambil berkesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di negara ini dan ini merupakan kali ketiga beliau membuat kunjungan Hari Raya di sini.

“Saya rasa kegembiraan sentiasa terserlah setiap tahun kami berada di sini kerana hubungan yang erat di antara kami dengan Brunei Darussalam. Kami harap hubungan ini akan terus terjalin pada masa-masa akan datang,” ujar Dr. Mohamad Maliki Osman semasa bercakap bersama pihak media.

Menurut Tuan Yang Terutama Desmond Lee pula, ini merupakan kunjungan Hari Raya yang pertama beliau sertai.

“Di Brunei, saya melihat sendiri rata-rata rakyat di sini menyambut Hari Raya Aidilfitri dan orang ramai juga turut diberikan kesempatan berkunjung dan berhari Raya di Istana Nurul Iman yang dibuka untuk beberapa hari.”

Beliau amat menghargai hubungan dua hala yang telah diwujudkan di antara Brunei dan Singapura dan kunjungan ini meruapakan salah satu usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara dua negara.

Hadir sama ialah para setiausaha tetap, para timbalan setiausaha tetap bersama isteri masing-masing dan para pegawai kanan Kementerian ini.

ARTIKEL YANG SAMA