Kemiskinan, kemajuan belia jadi tumpuan

Kemiskinan, kemajuan belia jadi tumpuan

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Isu kemiskinan dan kemajuan golongan belia menjadi tumpuan utama perancangan strategik baru Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang akan mengutamakan muzakarah dan memperbaiki sinergi serta kerjasama dengan semua pihak berkepentingan.

Mengikut statistik Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), jumlah penerima bantuan kebajikan bulan (BKB) sehingga penghujung tahun 2015, berjumlah 6,478 ketua keluarga, yang menunjukkan peningkatan hampir 8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah bilangan yang memohon bantuan kerajaan, sama ada melalui bantuan kebajikan bulanan (BKB) yang ditadbirkan oleh JAPEM mahupun yang menghadapkan permohonan bantuan kumpulan zakat yang ditadbirkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) semakin meningkat.

Katanya, kementeriannya memahami bahawa keadaan ini berpunca daripada beberapa sebab seperti tiada atau hilang pekerjaan, atau menerima gaji yang rendah, tanggungan yang banyak dan sebagainya.

Yang Berhormat Pehin semasa mempengerusikan Sesi Muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin semasa mempengerusikan Sesi Muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Akan tetapi ini adalah satu perkembangan yang membimbangkan dan adalah sangat perlu diperbaiki, katanya sambil melahirkan harapan agar trend berkenaan dapat diatasi melalui usaha yang bersepadu dengan semua pihak berkepentingan di samping melalui penyediaan dasar dan perancangan yang lebih efektif dan berkesan.

Perkara ini adalah antara yang ditekankan Yang Berhormat Pehin semasa mempengerusikan Sesi Muzakarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini pagi ini.

Semasa berucap di awal sesi muzakarah, Yang Berhormat Pehin turut menyatakan, ke arah memastikan setiap warga negara sentiasa mendapat perhatian sewajarnya tanpa mengira taraf atau bangsa, kementeriannya sebagai peneraju bersama Strategi Jaminan Sosial di bawah rangka kerja Wawasan 2035 telah membentuk satu jawatankuasa.

Menurut beliau, ahli-ahlinya adalah dari agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan strategi yang sistematik dan berkesinambungan serta berdaya tahan.

“Insya Allah, jawatankuasa ini, dengan penglibatan berbagai-bagai sektor yang berkepentingan akan lebih berkesan dalam menangani strategi ke arah menjamin kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini,” tambah beliau.

Sesi muzakarah itu membincangkan empat bidang utama iaitu belia, sukan, kebudayaan dan kemasyarakatan. Taklimat telah disampaikan oleh setiausaha-setiausaha tetap di KKBS, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang menerangkan mengenai perkembangan belia dan sukan dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Mohd Jalil yang menerangkan mengenai perkembangan kebudayaan dan kemasyarakatan.

Rombongan ahli MMN yang menghadiri sesi berkenaan telah diketuai Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Ahad.

Turut hadir ialah pengarah-pengarah dan para pegawai kanan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sesi muzakarah itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat serta bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu yang ada kaitannya dengan tanggungjawab dan peranan KKBS dalam sama-sama menanai Wawasan 2035.

Di samping itu, ia juga untuk mengongsi perkembangan program dan aktiviti kementerian bagi memantapkan perkhidmatannya kepada orang ramai serta mengenal pasti isu-isu yang dihadapi orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA