Kempen amal derma lampin

Kempen amal derma lampin

Oleh Normazlina M.D dan Hajah Saemah Zulkefli

 

TUTONG, 8 NOV – Seramai 20 sukarelawan yang merupakan bekas peserta Program Pertukaran Pemimpin Belia Singapura-Brunei Darussalam (SBYLEP), hari ini, telah mengadakan kempen mengutip derma lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa untuk dihulurkan kepada mereka yang memerlukannya.

Belia-belia berkenaan mengumpulkan sumbangan berupa lampin pakai buang daripada orang ramai berkenaan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Pusat Insani Seria dan Pusat Belia, Tutong.

Program ini merupakan inisiatif peserta SBYLEP dan sebahagian daripada projek yang dianjurkan oleh Read Or Take It (ROTI) iaitu mengumpulkan derma buku daripada orang ramai untuk diedarkan bagi menggalakkan budaya membaca.

Kempen kutipan derma lampin di tiga buah tempat itu diketuai oleh Haji Mohd Iqbal yang mengatakan kempen dijalankan kerana kesedaran mengenai segelintir masyarakat yang kurang berkemampuan dan memerlukan lampin pakai buang kanak-kanak dan orang dewasa.

Sukarelawan Kempen Derma Lampin Pakai Buang, merakamkan gambar ramai mereka.
Sukarelawan Kempen Derma Lampin Pakai Buang, merakamkan gambar ramai mereka.
Lampin pakai buang daripada orang ramai di Pusat Belia, Tutong yang dikumpulkan belia SBYLEP.
Lampin pakai buang daripada orang ramai di Pusat Belia, Tutong yang dikumpulkan belia SBYLEP.

Menurutnya lagi, ia juga dihasratkan menjadi pelantar kepada orang ramai untuk sama-sama melibatkan diri dalam kerja-kerja berkebajikan dengan sasaran kutipan hari sejumlah 1,000 paket lampin.

“Di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pagi tadi, kami berjaya mengumpulkan 411 paket lampin, kemudian kami bergerak ke Seria di Pusat Insani dan menerima sambutan menggalakkan,” katanya.

Apabila terkumpul jumlah sasaran nanti, mereka akan mengedarkannya kepada golongan yang memerlukan dan bekerjasama rapat dengan pihak hospital, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan sebagainya, tambahnya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai SBYLEP, bolehlah mengikuti akaun Facebook (Singapore Brunei Youth Leadership Exchange Programme) atau Instagram (@SBYLEP).

ARTIKEL YANG SAMA