Kempen anti rasuah Jinping dapat suntikan

BEIJING, 13 Mac – Kempen anti rasuah Presiden Xi Jinping bakal mendapat rangsangan besar apabila badan perundangan China hari ini mengambil langkah untuk menubuhkan agensi baharu yang berpengaruh dengan kuasa ke atas bilangan ramai pekerja dalam sektor awam.

Kongres Rakyat Kebangsaan hari ini memulakan pembacaan buat kali ketiga dan keempat draf undang-undang penyeliaan yang digambarkan oleh media kerajaan sebagai ‘bertujuan bagi rangkaian penyeliaan yang berpusat, seragam, berwibawa dan berkesan di bawah kepimpinan Parti Komunis.”

Undang-undang akan menggabungkan badan pemerhati anti rasuah parti dengan satu badan mengawasi perkhidmatan awam untuk membentuk Suruhanjaya Penyeliaan Kebangsaan yang baharu yang ditakrifkan sebagai badan bebas politik kabinet, mahkamah dan pendakwa, yang menimbulkan kebimbangan penyalahgunaan politik.

Badan itu akan berhak untuk menahan suspek-suspek sehingga enam bulan tanpa kebenaran hakim.

Pihak berkuasa mesti memaklumkan keluarga suspek dan unit kerja tahanan mereka dalam tempoh 24 jam, melainkan dalam kes-kes yang mana bukti mungkin telah dimusnahkan atau penyiasatan terhalang, menurut teks draf undang-undang. Butiran lain, seperti di mana suspek akan ditahan, siapa akan bertanggung jawab bagi kebajikan mereka dan apakah bentuk wakil undang-undang yang akan dibenarkan untuk mereka, belum lagi diumumkan.

Juga hari ini, kongres yang dikenali sebagai NPC telah mula mengkaji semula penyusunan semula agensi-agensi kerajaan, termasuklah penubuhan Kementerian Hal Ehwal Bekas Perajurit untuk mengawasi kebajikan berjuta-juta tentera China yang telah bersara. – AP