Kempen Berhenti Merokok di SM Sayyidina Husain

Kempen Berhenti Merokok di SM Sayyidina Husain

Oleh Abdul Aziz Pandin

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Student Management Leadership Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong baru-baru ini melancarkan Kempen Berhenti Merokok di sekolah itu.

Hadir melancarkan kempen itu ialah Ketua Kampung Lugu, Awang Salim bin Adi dan Pegawai Pusat Promosi Kesihatan, Dr Ernina Nisdzarinah binti Haji Abdul Rani.

Turut hadir ialah pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan, Timbalan Pengetua Hajah Juridah binti Haji Tamin, ibu bapa, guru-guru dan para pelajar.

Kempen dilaksanakan bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan bahaya rokok itu turut menampilkan ceramah Bahaya Merokok dan Vaping kepada Kesihatan yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Promosi Kesihatan, Hajah Mahanum binti Dato Haji Abu Zar.

Dalam ceramahnya itu, Hajah Mahanum mendedahkan kaji selidik dan pemantauan kesihatan pelajar yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan yang menunjukkan sejumlah remaja mengamalkan hidup cara hidup kurang sihat dengan merokok. Daripada sejumlah 2,559 pelajar sekolah menengah yang ditinjau pendapat dalam kaji selidik itu, sejumlah 11.4 peratus remaja merokok sekali atau lebih daripada sekali dalam masa sebulan. Manakala 12.3 peratus remaja menggunakan produk tembakau lain sekali atau lebih daripada sekali sebulan.

Hajah Mahanum ketika menyampaikan taklimat mengenai bahaya rokok.
Hajah Mahanum ketika menyampaikan taklimat mengenai bahaya rokok.
Antara pelajar yang hadir pada taklimat tersebut.
Antara pelajar yang hadir pada taklimat tersebut.

Penggunaan rokok elektronik e-cig pula semakin membimbangkan kerana enam peratus pengguna e-cig atau vaping adalah remaja.

Memandangkan peratus remaja merokok yang masih di bangku sekolah adalah tinggi, Pusat Promosi Kesihatan akan mengungkayahkan kempen berhenti merokok dinamakan Quit2Win Remaja 2016 bagi memberi tumpuan membantu remaja menghindari gejala itu. Ia bertujuan memantapkan lagi langkah-langkah bagi menurunkan kadar perokok, dan mencegah serta mengawal penggunaan tembakau di Negara Brunei Darussalam. Di samping itu, kempen ini akan meningkatkan kesedaran di kalangan penuntut mengenai rokok dan ‘e-cig’ dan bahayanya termasuklan cara-cara berhenti merokok, tambah Hajah Mahanum.

Kempen itu juga diserikan dengan pameran berhenti merokok dan diakhiri dengan bacaan doa selamat dan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan khas.

ARTIKEL YANG SAMA