Kempen beringat-ingat MKKJR dilaratkan ke Daerah Belait

Kempen beringat-ingat MKKJR dilaratkan ke Daerah Belait

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 16 Julai – Selepas melancarkan Kempen Beringat-Ingat Keselamatan Jalan Raya di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) meneruskan lagi kempen tersebut dengan pengagihan cakera padat (CD) panduan Tip Pendidikan Keselamatan Jalan Raya bagi pengguna jalan raya di Daerah Belait, yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Belait, hari ini.

Mengetuai kempen dan pengagihan cakera padat di hadapan Balai Polis Belait ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, OCPD SUPT Mohd Hadini bin Haji Othman.

Menurut kenyataan Unit Keselamatan Jalan Raya, MKKJR, Jabatan Pengangkutan Darat di bawah Kementerian Perhubungan, kempen berkenaan diungkayahkan dengan tujuan untuk mengingatkan orang ramai terutama para pengguna jalan raya mengenai pentingnya sama-sama menjaga keselamatan jalan raya dengan mematuhi setiap peraturan jalan raya serta mengamalkan sikap pemanduan berhemah.

Kenyataan turut menyarankan pemandu dan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dan ingat akan beberapa aspek di jalan raya seperti jangan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, jangan mengekori kenderaan di hadapan terlalu dekat, mematuhi had laju di jalan-jalan raya yang telah ditetapkan, jangan melanggar lampu merah dan sentiasa berawas-awas ketika pejalan kaki menyeberang jalan raya.

Dengan adanya kempen ini, para pemandu dan pengguna jalan raya diharapkan agar sentiasa mematuhi segala peraturan-peraturan dan undang-undang ketika berada di jalan raya dan sentiasa bersikap bertolak ansur bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

OCPD SUPT Mohd Hadini mengetuai kempen yang diadakan di hadapan Balai Polis Daerah Belait, kelmarin.
OCPD SUPT Mohd Hadini mengetuai kempen yang diadakan di hadapan Balai Polis Daerah Belait, kelmarin.
Rombongan MKKJR bersama tetamu kehormat semasa kempen di Daerah Belait.
Rombongan MKKJR bersama tetamu kehormat semasa kempen di Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA