Kempen bersih kubur Kampung Kuala Balai

Kempen bersih kubur Kampung Kuala Balai

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Jun – Lebih 50 orang yang terdiri daripada bekas penduduk Kampung Kuala Balai, baru-baru ini, telah melaksanakan kerja gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam di kampung tersebut, di sini.

Hadir sama ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Juragan Laila Diraja Kol (B) Dato Seri Pahlawan Haji Kefli yang juga merupakan salah seorang anak kelahiran di kampung tersebut.

Kempen gotong-royong itu merupakan aktiviti tahunan bersempena tibanya bulan Ramadan, sekali gus, memperkenalkan kepada para belia akan pusara-pusara datuk nenek mereka agar amal berkebajikan membersihkan kubur ini dapat diteruskan oleh generasi seterusnya.

Salah seorang daripada peserta kempen itu, Haji Idris bin Abdullah, memberitahu, selain daripada mengadakan aktiviti gotong-royong setiap tahun, ramai dalam kalangan mereka yang merupakan anak kelahiran kampung itu sentiasa berkunjung di hujung-hujung minggu bagi melawat tanah dan pondok yang mereka bina sebagai tempat bermuzakarah.

Bekas penduduk Kampung Kuala Balai bergambar ramai bersama para belia dalam aktiviti kempen membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam di kampung itu.
Bekas penduduk Kampung Kuala Balai bergambar ramai bersama para belia dalam aktiviti kempen membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam di kampung itu.

Haji Idris turut menyatakan harapan agar kampung yang sudah lama ditinggalkan itu akan dapat dihidupkan semula oleh pihak tertentu dengan menyediakan kemudahan-kemudahan seperti jalan raya, bekalan air dan juga elektrik.

“Kami rasa gembira apabila dapat bersama-sama di kawasan kampung halaman kami ini, dan kami sentiasa berdoa semoga hajat kami supaya kampung ini hidup semula dan mempunyai penduduk seperti dulu akan dikabulkan,” ujar beliau.

Melalui aktiviti seperti kempen membersihkan tanah perkuburan dan sebagainya, bekas penduduk Kampung Kuala Balai itu, yang pada masa ini majoritinya menetap di kawasan Kampung Mumong, dapat mengeratkan lagi tali silaturahim di antara mereka.

ARTIKEL YANG SAMA