Kempen bersihkan Daerah Belait

Kempen bersihkan Daerah Belait

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Mei – Jawatankuasa Kerja Kempen Kebersihan Peringkat Daerah Belait telah mengadakan kempen kebersihan secara serentak di daerah ini khususnya bagi membersihkan kawasan-kawasan luar dan dalam bangunan kerajaan, tapak-tapak dan bangunan komersial, kawasan perumahan, sekolah-sekolah dan seumpamanya.

Kempen kebersihan serentak tersebut adalah bagi menyahut saranan Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan di Peringkat Kebangsaan dengan objektifnya untuk meningkatkan tahap kebersihan kawasan-kawasan di Daerah Belait sama ada di dalam bandar mahupun luar bandar.

Kempen ini telah disertai oleh pelbagai pihak dan masyarakat yang terdiri daripada kalangan agensi-agensi kerajaan, swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, sukarelawan dan orang-orang perseorangan.

Antara yang menyertai kempen kebersihan itu.
Antara yang menyertai kempen kebersihan itu.

Penganjuran kempen ini juga diharap akan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat serta rakyat dan penduduk di Daerah Belait pada keseluruhannya akan pentingnya bagi sama-sama menjaga kebersihan di kawasan-kawasan masing-masing dan seterusnya akan dapat membudayakan amalan menjaga kebersihan dan sikap pembersih setiap masa di samping menjadikan kawasan-kawasan dan alam sekitar di daerah ini lebih bersih, indah, ceria dan bebas dari tempat-tempat pembiakan nyamuk.

Jawatankuasa kempen mengharapkan agar semua pihak dapat sama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan menanamkan semangat serta sikap bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan di mana jua tempat dan kawasan di daerah ini setiap masa.

ARTIKEL YANG SAMA