Kempen bersihkan Pantai Tungku

Kempen bersihkan Pantai Tungku

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Dengan hasrat untuk memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan pantai serta untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan warga Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bersama Persatuan Sukarelawan Beachbunch, penuntut-penuntut Kursus Kokurikulum II (Sukarelawan) KUPU SB akan mengadakan Kempen Membersihkan Pantai Tungku pada 25 Mac nanti bermula dari pukul 3 petang hingga 5 petang.

Program kegiatan sukarelawan itu merupakan salah satu daripada kandungan kursus kokurikulum yang ditawarkan oleh Pusat Ilmu Teras, KUPU SB bagi semester kedua sesi 2015/2016 di mana kegiatan itu dilaksanakan bersama dengan kumpulan sukarelawan yang berpengalaman, Beachbunch.

Kempen yang membawa tema ‘Bersatu Dalam Membantu Masyarakat’ itu bermatlamat untuk memberikan pengalaman kepada para penuntut dalam mengendalikan sesebuah projek serta untuk melahirkan rasa bertanggungjawab dan kerjasama dalam membentuk kerja berpasukan.

Dengan membersihkan pantai berkenaan, diharap dapat mewujudkan persekitaran yang bersih dan amat sesuai dengan kehendak Islam.

Kerja-kerja yang dilaksanakan semasa kempen berkenaan termasuk mengutip sampah, mengumpul serta membuang sampah di mana peserta kempen dibahagikan kepada empat kumpulan dan setiap kumpulan akan mempunyai lima atau enam peserta serta dibantu oleh peserta daripada sukarelawan Beachbunch akan membersihkan kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.

Dengan terlaksananya kegiatan membersihkan Pantai Tungku itu nanti, ia diharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat umum bahawa menjaga kebersihan alam sekitar adalah sangat penting dan dituntut dalam Islam.

Melalui kegiatan itu juga, ia boleh meningkatkan lagi kualiti tahap kebersihan Pantai Tungku dan menarik orang ramai untuk mengunjungi pantai berkenaan dengan aman, selesa dan damai.

ARTIKEL YANG SAMA