Kempen Cegah Jenayah Dalam Penjara dilancarkan

Kempen Cegah Jenayah Dalam Penjara dilancarkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Sempena memperingati pembinaan Penjara Jerudong ke-36 tahun, Institusi Penjara Jerudong mengadakan Kempen Cegah Jenayah Dalam Penjara yang telah dirasmikan hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis perasmian kempen tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat. Turut hadir ialah ketua-ketua pengurusan, para pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.

Acara dimulakan dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan dan menyanyikan lagu ‘Penjara Ku’, sebelum kata-kata aluan daripada Pegawai Yang Menjaga Institusi Penjara Jerudong, Penguasa Penjara Awang Aliakbar bin Haji Ludin yang serba sedikit menyentuh mengenai undang-undang dan peranan penting dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai penjara.

Dalam pada itu Haji Ismail dalam ucapannya pula menyentuh lebih jauh tentang perihal disiplin pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara dan terhadap pesalah-pesalah yang ada dalam kawalan institusi-institusi penjara serta hubungannya dengan hasrat mencapai visi dan misi jabatan tersebut.

Haji Ismail menandatangani papan tanda cegah jenayah.
Haji Ismail menandatangani papan tanda cegah jenayah.

Beliau menegaskan bahawa pihak pengurusan serta komiti jabatan berkenaan akan sentiasa memandang serius terhadap mana-mana jua pegawai dan kakitangan penjara yang terlibat dalam apa jua bentuk perilaku yang bertentangan dengan undang-undang atau sebarang peraturan penjara mahupun undang-undang negara.

Beliau turut melahirkan harapan supaya pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan tersebut akan sentiasa menanamkan sikap bertanggung jawab terhadap tugas yang diamanahkan.

Antara pengisian dalam kempen tersebut adalah penyerahan Lencana Kempen Cegah Jenayah Dalam Penjara yang diserahkan kepada semua peringkat pegawai penjara Institusi Penjara Jerudong dan juga menandatangani Papan Kempen Cegah Jenayah Dalam Penjara sebagai tanda bermulanya kempen berkenaan selama sebulan yang didahului sendiri oleh Pemangku Pengarah Jabatan Penjara.

ARTIKEL YANG SAMA