Kempen derma darah 46 tahun BSB 10 Oktober

Kempen derma darah 46 tahun BSB 10 Oktober

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Sebagai salah satu kegiatan kebajikan untuk membantu mereka yang memerlukan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan mengadakan Kempen Pendermaan Darah Sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei ke Bandar Seri Begawan ke-46 pada 10 Oktober nanti.

Menurut Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, kempen yang akan bermula dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi itu akan berlangsung di Dewan Serba Guna Depot Bandaran, Kampung Belimbing, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

Kegiatan itu dihasratkan untuk dijadikan sebagai satu amalan berkebajikan dan diharap dapat menanamkan sifat beramal jariah di kalangan orang ramai untuk menderma seunit darah yang boleh membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Sehubungan dengan itu, pihak penganjur, mengalu-alukan orang ramai, terutama penduduk yang tinggal di kawasan Bandar Seri Begawan untuk sama-sama tampil ke hadapan memberikan sokongan serta menderma darah dalam kegiatan amal berkenaan serta untuk membantu menambahkan stok simpanan darah di Hospital RIPAS.