Kempen derma darah 5 Mac ini

Kempen derma darah 5 Mac ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Kompleks Membeli-Belah Mabohai dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan mengadakan kempen derma darah pertamanya tahun ini pada 5 Mac ini di Pentas Acara, Tingkat 1 kompleks berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kempen tersebut akan diadakan dalam dua sesi bagi menampung seramai orang yang mungkin, iaitu dari 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 4 petang.

Proses penyaringan ketat akan dijalankan untuk setiap penderma berpotensi dalam memastikan mereka lulus standard yang diperlukan bagi menderma darah.

Menerusi proses penyaringan berkenaan, semua penderma akan dapat mengetahui kadar tekanan darah dan kiraan hemoglobin, di samping itu, bagi yang pertama kali menderma darah, mereka akan dapat mengetahui jenis darah mereka selepas menderma.

Kempen ini merupakan projek khidmat komuniti berterusan kompleks berkenaan yang dianjurkan dengan bantuan Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS.

Sejak 2014, kira-kira 160 pain darah telah dikumpulkan menerusi kompleks membeli-belah berkenaan.

Pengurus Kompleks Membeli-Belah Mabohai, Dayang Yee-Man Cheng dipetik sebagai berkata, “Kami berharap bahawa kempen derma darah pertama kami bagi tahun ini akan menarik penderma baru dan lama. Jika anda tidak pernah menderma darah sebelumnya, dialu-alukan datang bagi pemeriksaan kesihatan percuma dan melihat proses menderma darah yang mudah dan cepat.

“Hidangan ringan akan disajikan dan kami tidak sabar untuk melihat lebih ramai menderma darah dan membantu menyelamatkan nyawa,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA