Kempen derma darah BDTA perlu dicontohi

Kempen derma darah BDTA perlu dicontohi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Kempen derma darah yang pertama kali dianjurkan oleh Persatuan Tekwando Negara Brunei Darussalam (BDTA), hari ini, diharap dapat melahirkan kesedaran dan rasa rendah diri dalam kalangan ahli persatuan kerana darah yang mereka dermakan itu akan menyelamatkan nyawa.

Kempen derma darah yang juga merupakan yang pertama kali dianjurkan oleh sebuah persatuan sukan di negara ini bertujuan untuk mempromosi Sukan Tekwando di negara ini dengan menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertainya.

Timbalan Presiden BDTA, Awang Lim Ting San berkata, sebagai sebuah persatuan seni mempertahankan diri, sikap merendah diri adalah satu disiplin yang penting dalam diri seorang ahli tekwando.

Beliau berharap dengan adanya kempen amal seperti ahli persatuan itu akan lebih rapat dan mesra lagi dengan masyarakat sambil menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan semua.

Sementara itu, Haji Matusop bin Haji Daud dari Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) menerangkan, pihaknya menyambut baik usaha BDTA menganjurkan kempen derma darah itu kerana langkah BDTA itu boleh dicontohi oleh persatuan sukan lain di negara ini.

Awang Lim Ting San (tengah) bersama beberapa orang penderma remaja.
Awang Lim Ting San (tengah) bersama beberapa orang penderma remaja.

“Kami memerlukan sekitar 50 pain darah setiap hari dan kemunculan persatuan-persatuan sukan untuk menderma darah adalah sesuatu usaha murni yang amat kami alu-alukan,” ujarnya.

Beliau seterusnya berharap agar BDTA dan persatuan sukan lain di negara ini dapat tampil menderma darah sekurang-kurangnya dua kali setahun dan membantu meningkatkan simpanan darah di pusat berkenaan.

Menurutnya lagi, menderma darah adalah suatu gaya hidup yang sihat kerana setiap kali seseorang itu menderma darah maka dia akan kehilangan 600 kalori manakala setiap kali darah yang didermakan, sebanyak tiga nyawa bakal diselamatkan.

ARTIKEL YANG SAMA