Kempen derma darah bergerak

Kempen derma darah bergerak

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Dalam usaha membantu menambah jumlah simpanan darah di negara ini, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) mengadakan kempen tabung bergerak derma darah ke kampus berkenaan, hari ini, di sini.

Kempen tabung bergerak derma darah ini merupakan kali kedua dianjurkan IBTE setelah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penuntut dan warga kampus pada kempen yang pertama.

Antara lain tujuan kempen tersebut adalah untuk memberi galakan kepada penderma baru bagi sama-sama membantu orang yang memerlukan darah seterusnya meningkatkan kesedaran akan pentingnya derma darah pada diri seseorang.

Salah seorang pelajar, Awang Abdul Matin Khan bin Danial, 21, ketika ditemu bual berkata bahawa ini kali kedua beliau menderma darah di mana kali pertama semasa menuntut di Pusat Tingkatan Enam Meragang.

Suasana warga kampus yang sama-sama memberi sokongan terhadap usaha Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS.
Suasana warga kampus yang sama-sama memberi sokongan terhadap usaha Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS.
Awang Abdul Matin Khan yang menderma darah buat kali kedua.
Awang Abdul Matin Khan yang menderma darah buat kali kedua.
Hasrat Dayang Aziawati akhirnya tercapai apabila berkesempatan mendermakan darahnya.
Hasrat Dayang Aziawati akhirnya tercapai apabila berkesempatan mendermakan darahnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, dengan adanya kempen di kampus tersebut, ia memudahkan para penuntut yang mempunyai masalah kenderaan untuk menderma darah mereka semasa kempen bergerak ini.

Sementara itu, Dayang Aziawati binti Samat, 19, yang mengikuti Kursus Pengembaraan dan Pelancongan berkata bahawa, meskipun ini merupakan pertama kali beliau menderma darah namun beliau gembira kerana berpeluang membantu orang yang memerlukan.

Menurutnya, sebelum ini beliau berhasrat untuk menderma darah tapi disebabkan beberapa perkara, hasrat tersebut tidak terlaksana.

Banyak faedah yang boleh diperoleh apabila menderma darah ini, antaranya membantu mengurangkan risiko kanser dan meningkatkan pembiakan sel darah merah baru.

ARTIKEL YANG SAMA