Kempen derma darah dapat sambutan

Kempen derma darah dapat sambutan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Kempen menderma darah Sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2016 anjuran Kementerian Kesihatan yang bermula malam ini mendapat sambutan amat menggalakkan.

Orang ramai daripada pelbagai kaum dan bangsa tampil di Dewan Al-Afiah, di sini untuk menyahut seruan menderma darah yang dikendalikan oleh Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Menurut Pegawai Saintifik, Kementerian Kesihatan, Awang Muhd Shahruney bin Saparudin, menderma darah merupakan perkara yang sangat mulia, yang boleh membantu mereka yang memerlukan seperti pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan, mangsa kemalangan, mangsa kanser dan banyak lagi.

Beliau berkata, pada setiap bulan Ramadan, simpanan darah di seluruh dunia Islam memang dijangka menurun memandangkan umat Islam di seluruh dunia berpuasa di siang hari.

Beliau juga berkata, pada tahun lepas, pusat pendermaan darah menerima sebanyak 200 penderma yang diadakan selama dua hari berturut-turut, dan beliau berharap pada malam ini akan mencapai sasaran yang diharapkan.

Orang ramai daripada berbilang bangsa tampil untuk menderma darah sempena Hari Penderma Darah Sedunia anjuran Kementerian Kesihatan.
Orang ramai daripada berbilang bangsa tampil untuk menderma darah sempena Hari Penderma Darah Sedunia anjuran Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS turut memaklumkan bahawa atas sambutan yang menggalakkan daripada para penderma darah dan permintaan orang ramai, mereka juga telah menambah waktu beroperasi pada sebelah malam pada 16, 21, 22 dan 28 Jun di Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS dari jam 8:30 malam hingga 10:30 malam.

Manakala itu, waktu perkhidmatan pada sebelah siang sepanjang bulan Ramadan, adalah tidak berubah, yang mana waktu perkhidmatan dibukakan bermula dari jam 8 pagi hingga 2 petang di Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS.

Sementara itu, bagi daerah-daerah lain, kempen berkenaan akan diadakan pada 2 Julai di Kawasan Lobi, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong dari jam 8:30 malam hingga 10:30 malam; 14 Julai di KBSentral, Kuala Belait dari jam 10 pagi hingga 2 petang; dan 28 Julai di Pusat Belia Bangar, Temburong dari jam 9 pagi hingga 11:30pagi.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan datang dan turut serta dalam kempen-kempen derma darah tersebut bagi sama-sama membantu menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah.

ARTIKEL YANG SAMA