Kempen derma darah dapat sambutan

Kempen derma darah dapat sambutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Nov – Sebanyak 69 pain darah telah berjaya dikumpulkan, lebih daripada sasaran Unit Pendermaan Darah Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait, dalam Kempen Sumbangan Derma yang berlangsung di Atrium Pusat Membeli-belah KBSentral, di sini, hari ini.

Ketua Unit Pendermaan Darah Hospital SSB, Pegawai Saintifik Kanan, Dayang Salmah binti Zaini, memberitahu Media Permata, sambutan pengunjung pusat beli-belah berkenaan dalam kempen anjuran Pentadbiran KBSentral tersebut agak menggalakkan.

“Selain daripada orang ramai yang kebetulan datang untuk membeli-belah dan singgah menyumbangkan darah dalam kempen, hari ini, ramai juga di kalangan penyumbang tetap yang turut hadir untuk menderma,” katanya.

Menurutnya, Jumaat lalu, mereka juga telah mengendalikan kempen seumpamanya anjuran Pasukan Bola Sepak Rancangan Perumahan Awam Kampung Panaga, dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Seria dan jawatankuasa sukarelawan Kampung Panaga, di mana mereka berjaya mengumpul sejumlah 21 pain darah.

Antara pengunjung KBSentral yang meluangkan masa singgah menyumbangkan darah kelmarin.
Antara pengunjung KBSentral yang meluangkan masa singgah menyumbangkan darah kelmarin.

“Kami berharap, kempen seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa, kerana unit kami memerlukan tabungan darah yang cukup, kerana penggunaan pada masa ini semakin meningkat sekurang-kurangnya sejumlah lebih 120 pain sebulan,” ujarnya.

Kempen Derma Darah KBSentral yang diadakan buat kali pertama itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya menyumbangkan derma darah sebagai salah satu amalan berkebajikan demi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Darah jenis ‘O’ merupakan keperluan utama, iaitu kira-kira 70 peratus, yang juga boleh digunakan bagi semua jenis darah pesakit yang memerlukannya.

ARTIKEL YANG SAMA