Kempen derma darah di masjid

Kempen derma darah di masjid

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Sebagai komitmen untuk menghulurkan bantuan kebajikan dan khidmat bakti kepada masyarakat, Masjid Kampung Masin dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Masin akan mengadakan Kempen Menderma Darah pada 8 April 2016 di masjid berkenaan.

Kempen bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-32 tahun itu dibukakan kepada semua penduduk kampung berdekatan dan juga orang ramai.

Penganjurannya antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk kampung dan pihak masjid sebagai usaha berterusan untuk menabur bakti dan membantu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan darah.

Syarat-syarat untuk menderma darah termasuk tubuh badan sihat, berumur di antara 18-65 tahun untuk yang pernah menderma, antara 18-60 tahun untuk pertama kali menderma, remaja berumur 17 tahun perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga, berat badan 45 kg ke atas, tidur minimum lima jam dan tiada masalah kesihatan.

Penderma mestilah mengambil makanan sebelum menderma darah, tidak terlibat dalam sebarang kegiatan berisiko antara mengambil dadah secara suntikan, bertukar-tukar pasangan seks, dan mengambil atau memakan ubat-ubatan, serta pendermaan terakhir tiga bulan lepas, manakala itu, bagi penderma wanita, mereka mestilah tidak mengandung, tidak datang haid serta tidak menyusukan anak.

Orang ramai yang ingin menderma darah dan membantu menambah stok Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, dialu-alukan hadir pada kempen ini nanti.

ARTIKEL YANG SAMA