Kempen derma darah giat dijalankan

Kempen derma darah giat dijalankan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei mengadakan kempen menderma darah yang berlangsung di kedutaan berkenaan, di sini, hari ini.

Kempen yang diadakan dari pukul 8:30 pagi hingga 11:30 pagi itu telah berjaya mengumpulkan sejumlah 6,750ml darah daripada kakitangan kedutaan tersebut.

Chargé d’Affaires Kedutaan AS, Mark S. Dieker dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata bahawa kempen diadakan bersempena dengan Hari Kemanusiaan Sedunia yang jatuh pada setiap 19 Ogos.

“Di seluruh dunia, kita terus melihat masyarakat-masyarakat terjejas oleh krisis dan kami memberi penghormatan kepada mereka yang menumpukan kehidupan mereka untuk membantu masyarakat berkenaan. Dengan menyumbangkan darah, kami memainkan peranan kecil namun penting dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik,” ujar beliau.

Sementara itu, Jururawat Tabung Darah JPMC, Romeo Tabios pula dipetik sebagai berkata, “Setiap titik darah bernilai. Apabila anda menyumbangkan darah, anda memberi balik kepada masyarakat, ia juga memberikan manfaat daripada fizikal dan mental kepada kesihatan penderma.

Antara yang menyertai kempen menderma darah tersebut.
Antara yang menyertai kempen menderma darah tersebut.

“Setiap titis darah berpotensi membantu menyelamatkan tiga nyawa,” tambahnya.

Pihak hospital memerlukan darah mencukupi untuk memenuhi keperluan pelbagai pihak daripada kanak-kanak hingga orang dewasa yang terlibat dalam pembedahan dan yang lainnya.

Sukarelawan yang ingin menderma akan ditanya mengenai sejarah kesihatan individu tersebut serta keluarganya termasuk pemeriksaan kesihatan fizikal biasa seperti pemeriksaan denyutan nadi, tekanan darah, suhu badan, kolesterol dan peringkat haemoglobin.

JPMC berharap lebih banyak kempen menderma darah diadakan pada masa hadapan, agar lebih ramai orang menderma darah bagi membantu pesakit yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA