Kempen derma darah Kelab Rotary 28 Mei ini

Kempen derma darah Kelab Rotary 28 Mei ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Sebagai usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan dan untuk menyahut seruan menderma darah, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dan Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan menganjurkan Kempen Derma Darah pada 28 Mei di Dewan Pameran Lexus, Gadong bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kelab Rotary, kempen itu merupakan salah satu inisiatif dan projek kemasyarakatan Kelab Rotary sejak 2008 sebagai tanda komitmen teguh kepada kebajikan masyarakat.

Penyelia Pusat Menderma Darah, Hospital RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud dipetik menyatakan bahawa setiap pendermaan darah yang dibuat mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Dalam pada itu, beliau berharap usaha murni dan berkebajikan itu akan dapat disokong penuh oleh orang ramai dengan menyebarkan maklumat mengenainya supaya mereka sama-sama dapat memainkan peranan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Di samping itu, katanya lagi, setiap penderma darah akan diberikan pemeriksaan kesihatan percuma dan pemeriksaan bagi penyakit-penyakit berjangkit.

Beliau turut menjelaskan bahawa kajian menunjukkan mereka yang kerap menderma darah iaitu sebanyak dua atau tiga kali setahun boleh mengurangkan risiko penyakit kanser dan serangan jantung dan mereka juga kehilangan kira-kira 500 kalori bagi setiap pendermaan.

ARTIKEL YANG SAMA