Kempen derma darah polis terus diadakan

Kempen derma darah polis terus diadakan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Sebagai komitmen untuk menghulurkan bantuan kebajikan dan khidmat bakti kepada masyarakat, Pasukan Polis Diraja Brunei meneruskan lagi Kempen Menderma Darah bersempena Sambutan Hari Polis ke-95 di Balai Polis Pusat, di ibu negara, hari ini.

Kempen yang bermula pada pukul 9 hingga 11 pagi itu disertai oleh lebih 30 orang anggota polis dari Jabatan Siasatan jenayah, Daerah Polis Brunei dan Muara, Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan (BSB), Balai Polis Berakas, Balai Polis Sengkurong, Balai Polis Limau Manis dan Balai Polis Kampong Ayer.

Selain itu, ia turut disertai oleh anggota pasukan beruniform daripada pelbagai agensi kerajaan yang lain.

Kempen yang dianjurkan bersama dengan Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang dibukakan kepada anggota polis, anggota beruniform dari pelbagai agensi kerajaan yang lain serta orang ramai itu dihasratkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara polis dan orang ramai, di samping dapat menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya kepada pesakit-pesakit yang memerlukan darah.

Antara anggota polis yang menyertai kempen derma darah tersebut.
Antara anggota polis yang menyertai kempen derma darah tersebut.

Ia juga merupakan acara berterusan sebagai inisiatif Pasukan Polis Diraja Brunei untuk membantu pihak menambahkan lagi stok darah bagi kegunaan mereka yang memerlukan.

Kempen akan diteruskan lagi pada 21 Januari di Ibu Pejabat Pasukan Polis Simpanan RU ‘C’, Muara bermula pukul 9 hingga 11 pagi dan dijangka akan disertai oleh anggota-anggota polis dari Balai Polis Muara, Polis Marin dan RU Kompeni ‘C’.

Bagi orang ramai yang ingin sama-sama untuk menjayakan dan menderma darah semasa kempen itu adalah dialu-alukan untuk hadir supaya dapat sama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA