Kempen Derma Darah Terbuka sempena Aidilfitri

Kempen Derma Darah Terbuka sempena Aidilfitri

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Kementerian Kesihatan telah mengadakan Kempen Derma Darah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri 1436 Hijrah bertempat di Dewan Al-Afiah, kementerian itu, hari ini.

Kempen yang bermula dari pukul 5 petang hingga 8 malam itu membabitkan penyertaan 22 pegawai bertugas yang diketuai oleh Pegawai Saintifik Kanan Pusat Pendermaan Darah, Chong Kim Moi.

Menurut Pegawai Saintifik Pusat Pendermaan Darah, Awang Muhd Shahruney bin Haji Saparudin, kempen derma darah sempena Hari Raya itu adalah yang pertama seumpamanya diadakan dan akan dijadikan acara tahunan setiap kali menjelang Hari Raya.

“Ini adalah salah satu kempen yang dianjurkan oleh Pusat Pendermaan Darah dan kami berharap lebih ramai penderma darah akan tampil untuk menderma darah dan sama-sama membantu pesakit yang memerlukan bekalan darah,” kata beliau ketika ditemui di Dewan Al-Afiah.

Menurutnya lagi, kempen itu juga untuk menambahkan stok tabung darah yang ada pada masa ini dan bagi mendapatkan semua kumpulan jenis darah.

Awang Mohd Shahruney (berdiri 2 kiri) bersama kakitangan bertugas dan para penderma yang sedang menderma darah.
Awang Mohd Shahruney (berdiri 2 kiri) bersama kakitangan bertugas dan para penderma yang sedang menderma darah.
Antara mereka yang turut menderma darah semasa kempen tersebut.
Antara mereka yang turut menderma darah semasa kempen tersebut.

Katanya lagi, kempen itu juga amat penting bagi mendapatkan kumpulan darah yang jarang ditemui seperti Rhesus Negatif kerana penderma darah daripada jenis tersebut yang sebelum ini digalakkan menderma hanya jika ada keperluan, kini dapat menderma pada bila-bila masa memandangkan Kementerian Kesihatan kini mempunyai teknologi pembekuan darah yang dapat menyimpannya untuk tempoh masa lebih lama.

“Walaupun jangka hayat darah pada asalnya hanya selama 42 hari, namun dengan adanya teknologi pembekuan itu maka pihak kami dapat melanjutkan jangka hayat darah sehingga setahun,” kata beliau.

Ditanya mengenai waktu menderma darah yang ditetapkan itu, Awang Muhd Shahruney berkata, waktu itu ditetapkan oleh pihaknya setelah mendapat maklum balas daripada sebahagian besar penderma dan orang ramai yang lebih mudah datang ke tempat menderma darah selepas waktu pejabat.

Seramai 75 orang telah hadir dan 54 daripadanya layak untuk menderma darah dan pihak penganjur telah menyediakan beberapa kemudahan seperti surau dan makanan untuk mereka yang datang untuk menderma darah.

ARTIKEL YANG SAMA