Kempen jualan produk perikanan bermula

Kempen jualan produk perikanan bermula

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Ke arah mempromosikan kempen ‘Makan Ikan’ sebagai sumber makanan yang sihat, Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan sekali lagi menganjurkan Penjualan Hasil-hasil Produk Perikanan selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Mei 2016 bertempat di Kompleks Pendaratan Ikan, Muara.

Jualan tersebut disertai oleh seramai sembilan pengusaha dalam bidang akuakultur, tujuh dalam industri tangkapan dan 12 dalam pemprosesan produk perikanan.

Ia merupakan salah satu usaha untuk membantu pengusaha-pengusaha perikanan untuk menonjolkan produk mereka kepada pengguna tempatan, di samping dapat meningkatkan penghasilan pelbagai produk perikanan dengan mempromosikan produk yang lebih berkualiti.

Salah seorang pengusaha tempatan dalam industri tangkapan yang menyertai jualan tersebut, yang hanya dikenali sebagai Ali memberitahu Media Permata, pelbagai jenis ikan yang dijual di petak beliau merupakan hasil tangkapan dengan menggunakan kapal pukat tunda syarikat beliau sendiri.

Jualan ikan segar dengan harga murah boleh didapati semasa kempen penjualan hasil-hasil produk perikanan di Kompleks Pendaratan Ikan Muara.
Jualan ikan segar dengan harga murah boleh didapati semasa kempen penjualan hasil-hasil produk perikanan di Kompleks Pendaratan Ikan Muara.

“Kesemua hasil tangkapan dijual pada kempen ini dengan harga yang sangat rendah bagi memenuhi kepuasan para pengunjung untuk memilih dan membeli bermacam jenis ikan segar yang baru sahaja dibawa pulang dari laut.”

Seperti jualan produk perikanan pada tahun-tahun yang lepas, kali ini ia juga mengetengahkan pelbagai hasil tangkapan segar yang dijual terus kepada para pembeli, di mana para pengusaha akuakultur akan menjual ternakan ikan laut seperti Ikan Selungsong, Pompano, Kerapu dan juga Barah-barahan.

Manakala itu, para pengusaha dalam sektor pemprosesan pula akan menjual produk-produk daripada hasil perikanan seperti keropok, belacan, ikan salai, ikan kering dan lain-lain.

Sehubungan itu, orang ramai termasuk para pengunjung dari dalam dan juga luar negara dialu-alukan untuk mengunjungi kempen jualan tersebut untuk mendapatkan ikan-ikan segar dan pelbagai produk perikanan pada harga yang berpatutan.

Jualan itu bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang kecuali Jumaat yang bermula dari jam 8 pagi hingga 11 pagi dan disambung semula dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

ARTIKEL YANG SAMA