Kempen kebersihan masjid sempena Awal Hijrah

Kempen kebersihan masjid sempena Awal Hijrah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Sempena memperingati Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 yang bakal tiba tidak lama lagi, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama akan mengadakan kempen kebersihan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat senegara pada 1 Muharram 1437H bersamaan dengan 14 Oktober 2015M.

Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, semasa sidang media mengenai kempen berkenaan di Bilik Mesyuarat, Jabatan Hal Ehwal Masjid menjelaskan kempen kebersihan berkenaan merupakan aktiviti iringan dan akan diadakan dengan tumpuan pelancaran di lima buah masjid iaitu Masjid Kampung Limau Manis yang dijangka dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat.

Masjid tumpuan lain termasuk Masjid Kampung Belimbing, Subok yang akan dihadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang yang akan dihadiri oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; Masjid RPN Kampung Rataie yang dijangka dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid; dan Masjid Kampung Sungai Teraban yang akan dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Menurut beliau lagi, kempen bagi masjid-masjid, surau dan balai ibadat yang lain juga akan diadakan dalam bulan Muharram ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Haji Abdul Rajid menyampaikan papan tanda kepada salah seorang wakil pegawai masjid.
Haji Abdul Rajid menyampaikan papan tanda kepada salah seorang wakil pegawai masjid.
Antara yang hadir semasa sidang media di Bilik Mesyuarat, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Antara yang hadir semasa sidang media di Bilik Mesyuarat, Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Turut hadir semasa kempen-kempen itu nanti, ialah para jemputan khas, pengarah-pengarah, pegawai kanan serta kakitangan dari KHEU, anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah masjid dan para jemaah masjid serta penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Beliau menjelaskan lagi, atur cara majlis pelancaran kempen itu nanti akan bermula pada pukul 6:45 pagi di mana Tazkirah bertajuk ‘Kepentingan Kebersihan Masjid’ akan disampaikan selepas pelancaran kempen kebersihan dengan meletakkan papan tanda dan menanam pokok di tempat yang ditentukan oleh tetamu kehormat majlis.

Terdahulu sebelum itu, tetamu kehormat dan para jemaah akan bersama-sama menunaikan sembahyang fardu Subuh berjemaah dan diikuti dengan Kuliah Subuh yang akan disampaikan oleh para penceramah undangan.

Aktiviti ini merupakan salah satu usaha untuk memakmurkan masjid di samping memupuk dan menanamkan sifat cintakan keindahan dan kebersihan masjid sama ada di dalam ataupun di luar masjid.

Selain itu, ia turut menanamkan semangat bergotong-royong dan bekerjasama antara pegawai masjid, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah masjid, jemaah dan penduduk persekitaran dalam sama-sama menjaga kebersihan dan kesucian rumah Allah S.W.T sebagai tempat ibadat, bersih untuk didatangi umat Islam.

Sehubungan itu, Haji Abdul Rajid menyeru kepada mereka yang akan turut serta dalam kempen ini nanti supaya dapat menghadirkan diri pada waktu yang telah dinyatakan dan memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan serta bersesuaian bagi sama-sama menunaikan Solat Fardu Subuh berjemaah, seterusnya mendengarkan Kuliah Subuh, Tazkirah dan bersama-sama membersihkan masjid.

Dengan adanya kempen lagi, ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta dapat mempertingkatkan lagi kesedaran dan menanamkan pada diri sendiri sifat-sifat cintakan kecantikan, keindahan dan kebersihan masjid.

Sidang media petang tadi turut menyaksikan Haji Abdul Rajid menyampaikan papan tanda kepada wakil-wakil pegawai masjid.

ARTIKEL YANG SAMA